Monday, August 27

Berikan cintamu


“Apa yang awak mahukan sebagai hantaran nanti?” soal Khairi. Dia memandang Yuhanis yang lengkap bertudung labuh melitupi dada. Tersenyum dirinya mengenangkan hal itu. ‘Bagaimanalah playboy nak bersatu dengan ustazah ni?’
     “Saya tak kisah.” Yuhanis menyahut lembut. Sekilas dia mengalihkan pandangannya. Tidak terus menatap wajah Khairi. Dia memandang ke arah anak saudara Khairi yang berusia 10 tahun. Ralit sekali anak saudaranya itu makan kepingan pizza yang terakhir.
     Khairi mengeluh perlahan. “Anis, takkanlah awak tidak mahu beri apa-apa cadangan. awak mahukan apa-apa yang istimewa sebagai hantaran? Saya sediakan…”
     Hanya gelengan kecil. Yuhanis tidak perlukan apa-apa lagi. Dia sudah ada semuanya. Lengkap. Keluarganya juga berada. Sama tahap dengan keluarga Khairi. Tiada perbezaan. Tidak perlu meminta dari lelaki itu.
     “Awak yakin?” Yuhanis mengangguk. “Okey, maknanya awak hanya inginkan senaskhah al-Quran, sepasang telekung, dan cincin perkahwinan. Itu sahaja…”
     “Ya, itu sahaja.”
     “Serius?”
     “Kalau ada benda lain yang saya inginkan, saya beritahu awak nanti. Buat masa sekarang, saya ada semuanya.”
     “Nanti? Bila..”
     “Insya-Allah, nanti saya beritahu. Awak tunggu sahajalah.”
     Titik. Kata-kata terakhir Yuhanis yang sangat ringkas berjaya mematahkan katanya. Dia tidak tahu apa lagi yang boleh dilakukan untuk mengetahui permintaan itu.

Kereta BMW berwarna silver milik Khairi berhenti di hadapan sebuah kelab malam. Dia melompat keluar dari dalam perut keretanya sebaik sahaja enjin kereta dimatikan. Laju langkahnya masuk ke dalam kelab malam dan terus mendapatkan dua orang rakannya. “What’s up Ed, Ridz? Dah lama sampai?”
     “Baru je sampai. Kau kenapa lambat?”
     “Aku jumpa Anis. Uruskan hal kahwin..”
     Ridzuan ketawa galak. “Kau serius ke nak kahwin dengan perempuan kampong tu? Minah bertudung litup? Kena ke dengan selera buaya darat kau tu?”
     “Serius tak serius, keputusan dah muktamad. Dia menantu pilihan mama aku. Nak tak nak, aku kena terima dengan redha!” sahut Khairi.
     Edward menghulurkan segelas minuman kepada Khairi. “Hilangkan stress!!!”
     “Ed, aku tak nak mabuk malam ni. Esok aku ada presentation. Mati aku kalau mabuk then tak sedar sampai esok.”
     “Okey, tiada paksaan. So, nak menari?”
     Khairi meleretkan senyuman. Menyambut mesra pelawaan Edward. Kelibat Ridzuan sudah tiada. Pastinya sudah menuju ke lantai tari.
     “Ery? Hey… what’s the small world? Tak sangka kita boleh bertemu di sini..”
     Kerutan singgah di dahi Khairi. Tidak mengenali gadis yang menyapanya. Sekali imbas dia meneliti penampilan gadis itu. Seksi. Jauh sekali bezanya dengan Yuhanis. “By the way, who are you?”
     “Huda, Nurul Huda. Remember? Seminar di Langkawi last month?”
     Senyuman akhirnya diukir. “Oh yeah… Huda, from Bayu Astana, right?”
     “Yeah.. so, dah lama lepak sini ke?”
     “Bila ada masa lapang, memang I lepak sini!”
     “Serious? Hurm… macam manalah I boleh tidak perasankan you.”
     “I’ve a VVIP club card here. Kalau lepak sini, I masuk bilik rehat. Crowded… make my head feeling heavy!”
     “Anyway, dengar khabar you nak kahwin tak lama lagi. Tak nak jemput I ke?”
     “Sorry, I’ve no card now. You dijemput datang. Erm.. you kerja di mana. Kalau ada masa I jumpa you. Berikan kad jemputan.”
     “I still di Bayu Astana. Tingkat 3, aras Permata.”
     “Good, see you..”
     “Call me first. Risau kalau I ada hal lain. Hurm… anyway, I’ve got to go now. Nice to meet you here. Bye..”
     “Bye..”
*****
Yuhanis membetulkan buku-buku latihan terletak di atas mejanya. Tidak mahu kelihatan bersepah. dia memerhatikan sekelilingnya. Hanya ada seorang guru lelaki yang duduk di dalam bilik guru itu dan seorang pekerja sedang membersihkan lantai. Dia mengeluh berat. ‘Mesyuarat jam 2. Sekarang baru jam 12. Ada masa lagi pergi makan!’
     “Ustazah Anis…”
     ‘Alahai.. time aku nak pergi makan, ada je budak datang ngacau!’
     “Ustazah, saya nak tanya sesuatu.”
     “Apa dia?”
     “Macam mana nak nasihatkan abang saya yang kaki perempuan. Suka pergi kelab malam dan balik dalam keadaan mabuk?”
     Soalan pelajar yang berusia 12 tahun itu membuatkan Yuhanis tergamam. ‘Situasi yang sama dengan Khairi..’ desisnya. “Awak cakaplah elok-elok dengan abang awak.”
     “Dia marah saya balik.”
     “Ibu dan ayah awak? Takkanlah mereka tak tegur abang awak?”
     “Saya mana ada ibu dan ayah lagi. Abang saya satu-satunya famili yang saya ada.”
     “Beritahu abang awak yang awak sayang sangat dengan dia. Cakap pada dia yang awak tidak mahu dia dimasukkan ke dalam api neraka kerana ingkar arahan Allah.”
     “Kalau tidak boleh?”
     “Berdoalah..”
     “Terima kasih ustazah!”
     “Sama-sama.”
     Yuhanis bangkit dari duduknya. Ingin ke kantin. Langkahnya keluar dari bilik guru terhenti bila terdengar bunyi deringan telefon bimbit. Beg tangan diselongkar mencari telefon bimbitnya. Terpampang sebaris nama milik Khairi. “Hello, assalamualaikum.”
     “Waalaikumsalam, hai ustazah Yuhanis!”
     “Awak nak apa?”
     “Jom keluar. Saya laparlah. Temankan saya makan…”
     “Maaflah. Saya ada mesyuarat jam 2 ni.”
     “Ohh.. okey. Anyway, mama dan papa kirim salam pada you.”
     “Wa’ alaika wa’ alaihissalam..”
     “Anis..”
     “Hurm…”
     “Saya… saya… ccciinnn…”
     “Gagap pula. Awak ni.. ada apa sebenarnya?”
     “Tak ada apa-apalah. Saya nak sampaikan salam mama dan papa je tadi. Err… awak jaga diri. Jangan lupa makan. Bye.. assalamualaikum..”
     Panggilan lantas dimatikan. Salam yang diberikan hanya mampu dijawab tanpa didengari Khairi.

Spontan Khairi menepuk dahinya berkali-kali. “Eeii.. gilalah aku ni. Takkanlah aku nak cakap kat dia yang aku cintakan dia. Tak logic langsung!”
     Kepalanya digaru pula. Wujud rasa kelakar. “Eh, bukan ke aku melamar dia sebelum mama memilih dia? Aku yang bertemu dengannya dan pada pertemuan pertama aku sudah jatuh cinta dengannya? Menngapa aku perlu malu mengatakan aku mencintainya?”
     Terlepas tawa kecilnya. Dia tergeleng-geleng.
     Khairi mencampakkan telefon bimbitnya ke atas katil. Baju kemeja yang berbau busuk dek terkena muntah seorang gadis ketika berada di kelab malam ditanggal. Terus dia mencampakkan baju kemejanya itu ke dalam bakul sampah.
     “Aku akan berkahwin dengan seorang ustazah. Sampai bila aku nak berkelakuan macam ni?” gumamnya. Sebuah pertanyaan dilontarkan untuk diri sendiri.
2 tahun sebelumnya…
Telefon bimbit yang diletakkan di dalam saku seluar dikeluarkan. Nama pemanggil dipandang. ‘Ridzuan..’ desisnya perlahan. Dia mengetap bibir. Berbelah bahagi antara mahu menjawab atau tidak panggilan tersebut. Keluhan panjang meniti di bibirnya. Dia memandang orang-orang di sekelilingnya. Masing-masing sibuk mengatur diri di setiap barisan. Dan dia?
     “Abang, kenapa ni? Imam sudah mahu angkat takbir tu. Mari cepat!” seorang budak lelaki belasan tahun menyapa lembut. Lengan Khairi dipegang dan ditarik mengikut ke saf terakhir. Kelihatan semua saf di hadapan sudah penuh.
     Khairi memejamkan matanya. Kaku. Tidak mampu. Itu kali pertamanya setelah bertahun lamanya dia tidak mengangkat takbir. Itu kali pertamanya dia menjejakkan kaki di kawasan masjid, rumah Allah!
     Gerak makmum di sekeliling diikuti tanpa ragu. Lidahnya yang keras tiba-tiba mampu digerakkan membaca setiap satu kalimah suci. Hatinya tenang. Jiwanya damai.
     “Abang ni, saya tengok lain macam je. Ada masalah ke?” soal budak lelaki itu sebaik sahaja solat berjemaah selesai. Dia masih ramah. Senyum tidak lekang dari bibirnya.
     “Amin, mari balik..”
     Khairi memalingkan wajahnya sebaik kedengaran seorang gadis menyapa. Berombak dadanya melihat seorang gadis bertelekung berdiri di belakang mereka berdua. Keayuan wajah gadis itu diam-diam menusuk ke dalam hatinya. ‘Indahnya wajah dia!’
     “Sekejap, Kak Anis. Abang okey? Inginkan apa-apa?”
     “Tak, abang okey.”
     “Kalau macam tu, saya balik dulu.”
     Khairi mengangguk kecil. Sejenak dia mengekori langkah Amin dan gadis itu melalui ekor mata. Dia tidak dapat berfikir dengan betul. Mengapa wajah gadis itu mudah sekali menyapa hatinya yang sukar sekali mahu menempatkan mana-mana nama gadis. Mengapa?

“Assalamualaikum…” Lembut suara Yuhanis menyapa Khairi. Dia mengukir senyuman bila melihat kerutan di wajah lelaki itu. “Tadi saya baru balik dari rumah mak cik saya, rumah mak Amin. Kemudian, saya nampak awak kat sini. Kenapa dengan kereta awak? Rosak ke?”
     “Saya tak pasti rosak atau apa. Tak ada minyak ke, air tak cukup ke.. saya tak tahu.”
     “Saya call Amin. Suruh dia tolong awak. Boleh?”
     “Tidak menyusahkan dia?”
     Yuhanis menjungkitkan bahunya. “Awak bukan orang sini?” soal Yuhanis seraya mendail nombor telefon Amin.
     “Tidak. Saya orang KL. Datang sini nak tinjau projek pembinaan chalet di bukit sana.”
     “Ooh.. eh sekejap. Amin, ini Kak Anis ni. Nak minta tolong sekejap. Kereta kawan akak rosaklah. Tak pasti kenapa. Boleh Amin datang tolong tengokkan?”
     Khairi mencuri pandang wajah Yuhanis yang terkena pancaran cahaya matahari. Gadis itu sama sekali tidak merungut kerana panas.
     “Awak, apa kata kita lepak, makan-makan, minum-minum di gerai tu dulu. Amin datang selepas dia solat Asar. Dia bawak abang dia nanti. Don’t worry, his brother can repair it for you.”
     “Errm.. boleh juga. Saya sebenarnya dah lapar ni.”
     Pintu kereta dirapatkan sebelum dikunci. Dia memeriksa kenderaannya itu dan terus beriringan dengan Yuhanis melintas jalan.
     “Assalamualaikum ustazah..” seorang anak kecil berumur dalam lingkungan 8 tahun menyapa. Bersahaja anak kecil itu bersalam dengan Yuhanis. “Ustazah nak makan apa? Encik pula?”
     “Ustazah nak makan bihun hailam dan ABC. Awak?”
     “Sama dengan awak.”
     “Fatin, dua bihun Hailam dan dua ABC. Okey?”
     Anak kecil itu mengangguk sebelum beredar ke dalam dapur. Yuhanis tersenyum.
     “Awak kerja apa?”
     “Saya ustazah. Kat sekolah rendah.”
     “Humaira..” desis Khairi namun mampu didengari oleh Yuhanis.
     “Siapa Humaira? Kekasih awak?”
     “Tak, saya terpanggil untuk panggil Humaira pada awak.”
     Yuhanis tertawa kecil. “Nama saya Yuhanis. Nama panjang Yuhanis Imani binti Muhammad Yusof.”
     “Sedap nama awak tu. Saya pulak Khairi Adam bin Salleh.”
     “Sebut pasal sedap, sekarang makanan dah sampai. Kita makan dulu ya. Saya dah lapar ni.”
     Khairi melebarkan sengihannya. Keletah Yuhanis yang keanak-anakkan gagal mempamirkan dirinya yang seorang ustazah. 

Hari sudah lewat petang ketika dia tiba di tempat penginapannya. Mujur keretanya selesai dibaiki. Bayaran pula tidak diterima Amin dan abangnya. Ikhlas kata mereka.
     Tetapi, dia lebih memikirkan Yuhanis. Gadis itu berjaya mengetuk pintu hatinya. Dia sudah jatuh cinta buat pertama kalinya!
     “Apa aku harus lakukan?”
Huda menghampiri Khairi yang sedang leka meneliti sebuah dokumen. Tanpa segan silu dan pelawaan dia terus melabuhkan punggung di sebelah Khairi. “Hai.. what’s up?”
     “Good. How about you?”
     “Same. Bertambah bagus sebab nampak you.”
     “You lunch dengan siapa di sini?” soal Khairi tertanya-tanya.
     “I’m booking one table here, for me.. and you! I nak lunch dengan you hari ini. So I booked the table. I pergi pejabat you, your secretary cakap you ke sini nak makan. So, shall we?”
     “Sorrylah Huda. I ke sini sebab nak makan dengan tunang I. ada hal yang I nak bincangkan dengan dia. I’m so sorry.”
     “Ouh… kalau macam tu, tak apalah. I’m okay with that. Mungkin lain kali kita boleh lunch bersama-sama.” Huda mencapai beg tangannya. Ingin segera beredar pergi. Hatinya sedikit terkilan kerana pelawaan untuk makan bersama dengan Khairi ditolak.
     Sebaik kelibat Huda hilang, Yuhanis tiba dengan semanis senyuman. Dia duduk berhadapan dengan Khairi. “Assalamualaikum awak..”
     “Waalaikumsalam. Dari sekolah ke?”
     “Kalau dari sekolah, saya rasa kita keluar dinner sekarang ni. Bukan lunch.”
     Spontan Khairi menepuk dahinya. Terlupa bahawa tunangnya itu mengajar di sekolah rendah di Pahang. Tapi, dia ke sana tak sampai sejam pun!
     “Jangan kejam sangat buat muka kerut-kerut macam tu. Saya drive sambil memikirkan diri yang tidak berkahwin lagi. So, terpaksalah drive carefully and slowly.”
     Khairi tergelak kecil bila Yuhanis bercekak pinggang. “Sorry… anyway, awak nak makan apa?”
     “Hah.. ini lagi satu kes. Kenapa tak dengar saya habiskan ayat dulu. Masa awak call pagi tadi, saya tak sempat nak bagi tahu yang saya puasa.”
     “Aduh, sorry again. Hurm… kita pergi ke tempat lainlah.”
     “Awak dah makan ke?” Khairi menggeleng. “Makanlah dulu. Tak adalah saya kejam sangat tak bagi awak makan. Saya temankan. Bagi awak terbuka selera.”
     “Luculah awak ni Anis.”
     Yuhanis mencebik geram. ‘Nak buat macam mana Mr. Playboy. Aku ni nama je ustazah tapi perangai memang macam ni. Tak dapat nak diubahkan lagi.’

Pandangan Huda tidak berkedip melihat kemesraan Khairi terhadap Yuhanis. Gayanya nampak semulajadi dan begitu selesa bersama dengan gadis bertudung litup itu. Dia tidak menyangka sama sekali, itulah tunang dan bakal isteri Khairi. Jauh beza. Bagaikan langit dan bumi perwatakan mereka. “Itu mustahil.”
     Huda kenal siapa Khairi. Buaya darat. Tidak mungkin gadis seperti itu yang dicari lelaki itu. Tidak mungkin. Setahunya selera lelaki itu lebih kepada gadis-gadis seksi dan menggoda.
     “Siapa perempuan itu? Apa yang dia telah lakukan untuk mendapatkan Khairi?”
     Bertalu persoalan dilontarkan Huda. Dia tidak mampu berdiri lebih lama lagi di situ memerhati Khairi. Kakinya diangkat beredar pergi.

Sebentuk cincin bertatahkan berlian menarik perhatian Khairi. Dia mencapai cincin tersebut lalu disuakan kepada Yuhanis. “I like this. Anis?”
     “awak yang nak berikan pada saya. jangan tanya pendapat saya.”
     “Kenapa?”
     “Saya ni perempuan. Kalau awak tunjuk sesuatu yang cantik, pasti saya mahukan sesuatu yang jauh lebih cantik dari pilihan awak tu.”
     Khairi senyum. “Okey, saya pilih yang ini. Hati saya pilih, bukan jari saya.”
     “Dan… saya pilih yang ini untuk awak. Comel je, kan?”
     Buntang mata Khairi memandang sebentuk cincin yang berliannya diukir berbentuk beruang kecil memegang hati. “Errk.. kalau awak pilih yang itu, saya…”
     “Hissy, saya gurau je. Takkanlah nak sarungkan cincin perempuan kat jari awak yang macho tu. Jatuhlah standard bakal suami saya ni!”
     “Eeeii.. awak ni. Nakal betul.”
     Tergelak-gelak Yuhanis. Seronok mengenakan Khairi. “Awak.. kalaulah saya ni adalah gadis yang jumpa awak di restoran tadi, cincin mana yang awak akan beri pada dia?”
     “eerrmm… gadis?”
     “Ya, yang jumpa awak di restoran tadi. Sebelum saya sampai. Yang seksi tu?”
     “Oh, yang itu. Entahlah.. kalau dia adalah awak, saya tak rasa yang saya pilih cincin. Confirm dia yang pilih.”
     “Oh..”
     “Tapi, saya tak dapat bayangkan kalau awak adalah dia. Boleh terbalik dunia ni. Ustazah tapi seksi..”
     “Eh, belum try belum tahu. Seksi saya jauh lebih menyeksakan mata awak tau.”
     Khairi menggeleng-gelengkan kepalanya. “How?”
     “Kenalah sabar. Selepas kita kahwin. Ya sayang…”
     “Okey, I’ll wait…”
Puan Rashidah duduk di sisi Yuhanis. Tersenyum dia melihat wajah Yuhanis yang berseri-seri. “Seronok ummi tengok Anis berseri-seri macam ni. Senyum sampai ke telinga!”
     “Mestilah berseri-seri. Nak jadi pengantin.”
     “Anis dah bersedia ke nak jadi isteri. Masih muda.”
     “Ummi, ketika Anis ambil keputusan untuk menerima lamaran Khairi, Anis berumur 23 tahun. Sekarang, umur Anis sudah 25 tahun. Masih muda ke?”
     “Ummi kamu tu risau sebenarnya. Tapi, dia dulu kahwin lagi muda ketika tu. Umur 18 tahun. Lahirkan kamu pun baru 19 tahun.” Nek Imah menyampuk. Memberi sokongan kepada cucu tunggalnya.
     “Wah.. gatal juga ummi ni,” usik Yuhanis lalu tergelak-gelak.
     Spontan Puan Rashidah bercekak pinggang. “Amboi…”
     “Ummi..” serunya perlahan. Tanpa diduga dia melabuhkan kepalanya di atas riba Puan Rashidah. “Mampukah Anis hidup bersama Khairi? Boleh ke Anis mengubah hidup dia itu?”
     Pertanyaan Yuhanis pernah disuarakannya ketika anaknya itu beritahu tentang lamaran Khairi. Dia risau sebenarnya tentang hal itu. “Ummi tak tahu Anis. Tapi, Anis sudah lakukan solat istikharah dan sudah ada jawapannya, bukan?”
     Tangan Yuhanis disentuh lembut Nek Imah. “Jangan fikir bukan-bukan. Nenek yakin Anis mampu bahagiakan dia.”
     “Ummi.. nek… ada sesuatu yang Anis tidak beritahu lagi.”
     “Tentang apa?”
     “Khairi.. dia sebenarnya, playboy… dia kaki minum… dia..”
     Usapan lembut di rambut Yuhanis terhenti. Puan Rashidah sedikit terkejut dengan kenyataan anaknya itu. “Anis tahu aka pa yang Anis sedang lakukan ni?”
     “Ummi… Anis tahu. Tapi, mungkin kerana Anis dia sedikit demi sedikit sudah berubah. Mungkin selama ini dia tidak dapat ubah tabiat dia, tapi bila dia sudah bertunang dengan Anis, Anis yakin dia sudah mengurangkan tabiat buruk dia. Dia berusaha…”
     “Idah, jangan macam ni. Dua minggu sahaja lagi mereka nak berkahwin. Mungkin ada hikmahnya bila Khairi bertemu dengan Anis. Kita tak tahu…”
     Puan rashidah mengeluh panjang. “Macam-macam. Anis.. ummi hanya mampu doakan kamu bahagia. Ingat, sabar itu satu-satunya cara. Ummi takut hubungan kamu dengan Khairi porak peranda kerana hal ini. Kalaulah ummi tahu Khairi macam itu, ummi…”
     “Ummi…”
    
“Ridz, sorry. Aku tak dapat keluar malam ni. Aku ada hal dengan famili aku.”
     “Famili ke tunang kau? aku tak fahamlah, sejak akhir-akhir ni bukan main alim kau. kenapa? Otak kau dah mula kena basuh dengan ustazah dari kampong tu?”
     “Kampung, kampong? Berkali aku cakap, dia tu ada ayah dan mak yang stay kat KL. Ada syarikatlah. Kau tak habis-habis nak gelar dia minah kampong. Kenapa?”
     Ridzuan ketawa besar. “Mudah marah rumahnya kau ni. Tak sangka aku yang sekarang kau dah mula senang nak tinggikan suara. Sebelum ini, elok je kau kalau aku usik kau dengan mana-mana perempuan.”
     “Dia tunang aku.”
     “Dia tunang kau, bukan bini kau. rilekslah kawan. Enjoy… sebelum kau jadi suami, kena ikat… then bila bini kau dah mengandung, ada anak, baik berhibur dulu. Have fun, friend!”
     Talian terus dimatikan. Tidak mahu bertekak dengan Ridzuan. Buang masa, buang air liur. Tiada kesudahan dan tiada kemenangan.
     Tubuhnya dilayangkan di atas katil. Melepaskan lelah di situ. Kedua belah diletakkan di belakang kepala. Dia memandang ke siling. “Ya Allah… bilakah hati ini benar-benar tunduk dengan kekuasaanMu. Mampukah aku terus berubah dan tidak seperti sekarang.”
     Khairi duduk. Ada air mata yang menitis di pipinya. Jiwanya tiba-tiba merasakan kekosongan. Wajah Yuhanis sering membawa dirinya menjadi seseorang yang tenang. “Boleh kah aku mengahwininya sedangkan agama aku tidak setaraf dengannya? Sedangkan sekarang ini solat aku tidak cukup lima waktu, puasa tunggang langgang… ya Allah kerdilnya aku berbanding  Yuhanis.”
     Sedang asyik dia memikirkan hal tersebut, kedengaran azan Isyak berkumandang. Sayup-sayup suara azan menyapa gegendang telinganya. Sayu…
     Tanpa disedari, dia turun dari katil dan menuju ke bilik air untuk berwudhu. Namun tingkahnya terhenti. “Sucikah diri ini?”
     Telefon bimbit diambil. Segera dia menghubungi Yuhanis. Terus dinyatakan hal itu.
     “Kalau awak rasa awak masih dalam hadas besar, bersucilah. Kalau itu jalan yang terbaik… segerakanlah. Insya-Allah, tuhan lebih mengetahui apa yang tersirat dalam hati awak.”
     “Anis… layakkah saya untuk awak?”
     “Jangan tanya saya. tanya diri awak… minta petunjuk dari Allah.”
     “Anis… saya… saya…”
     “Maaf, saya nak ke masjid. Ikut Nek Imah solat berjemaah. Assalamualaikum…”
     Talian terputus. Khairi mengeluh berat. Yakin Yuhanis tidak mahu dirinya terus menerus bertanya. Telefon bimbit dilemparkan ke atas sofa berdekatan. Dia mencapai tuala dan melangkah masuk ke dalam bilik air untuk membersihkan dirinya.

Nek Imah memandang Yuhanis. Tergeleng-geleng dirinya mendengar pembohongan Yuhanis. “Nek tak sangka betul ustazah macam kamu ni suka kelentong.”
     “Nek, kalau tak kelentong.. nanti Khairi akan tanya perkara yang sama. Tak naklah dengar..”
     “Mungkin dia mahukan seseorang memahami dirinya?”
     Yuhanis diam. Dia menghelakan nafas panjang. ‘Ya Allah… aku sanggup menerima kekurangannya dan aku rela menjadi isterinya untuk membaiki segala kekurangannya itu..’

Selesai bersolat, Khairi duduk berteleku di atas sofa. Dia mengukir senyum tiba-tiba. Layar mindanya mula memutarkan kenangan dua tahun lalu. Kenangan yang membawa kepada ikatan pertunangannya dengan Yuhanis.
     “Mama… Ery nak kahwin.”
     Gelas yang dipegang Puan Marina terlepas lalu jatuh berderai di atas lantai. Spontan, Khairi bangkit dan terus membantu mamanya mengemas sisa pecahan gelas.
     “Mama tak setuju.”
     Khairi terpempan seketika. Gerak tangannya terus terhenti. “Kenapa?”
     “Kamu fikir bapa mana yang sudi menerima kamu? Solat tak didirikan, puasa tunggang langgang, entah-entah kalimah syahadah pun kamu tak tahu…”
     “Mama, Ery…”
     “Kamu terlalu muda bagi mama!”
     “I’m 28 years old, ma. Muda apa?”
     “Nope! My answer is no!”
     “Ma, sepatutnya mama support Ery.”
     “Mama tidak akan setuju selagi kamu tak ubah diri kamu.”
     Khairi tergelak sendiri mengenangkan kata-kata terkahir mamanya sebelum dia menunjukkan foto Yuhanis kepada Puan Marinna.
     “Ma, she is your future daughter-in-law.”
     “What’s? mama tak setuju. Dia terlalu seksi untuk kamu!”
     “Okey, itu tak tetap lagi. Ery ada banyak calon. Mama pilihlah. Ery akan ikut..”
     Sekeping demi sekeping foto dilihat oleh Puan Marina. Semuanya gagal menarik hatinya untuk diterima sebagai menantu. Bosan. Hampir 50 keping gambar dilihat. Tangan sudah lenguh, mata sudah kuyu. “Kamu ni, macam nak suruh mama pilih model untuk gayakan rekaan baju. Faham tak?”
     Kepingan foto dicampakkan ke atas meja. Geram. Dia bangkit. Dia ingin melangkah pergi namun langkahnya terhenti bila melihat sekeping foto yang jatuh di kakinya.
     “Siapa ni?” soalnya. Sejuk matanya memandang keayuan wajah gadis bertudung litup di dalam foto tersebut. Senyuman kecil gadis itu sudah cukup membuatkan dia tertarik untuk melihat lebih lama seraut wajah tersebut. “Kalau yang ini.. mama setuju. Tapi, dia terima kamu?”
     “Dia sudah terima Ery. And you know what? I’m telling her the truth abou me. My career… my habits… all, mama. Dia setuju. Bukan kerana Ery anak orang kaya, tapi dia setuju kerana dia setuju menjadi penyuluh hidup Ery..”
     “Kalau begitu, mama akan tanyakan famili dia.”
     “Ma, Ery sudah bercakap dengan abi dan ummi dia. Dia minta Ery jumpa orang tuanya. Mereka setuju.”
     Melopong Puan Marina mendengarnya. Langsung tidak percaya dengan keyakinan anaknya dengan berjumpa orang tua gadis tersebut. ‘Anak aku ke ni?’
     Persetujuan Puan Marina nyata memberikan seribu satu nafas baru kepada Khairi. Dia benar-benar bahagia dengan keputusan yang dibuatnya.
     “Ya Allah, hanya beberapa langkah lagi.. aku akan bernikah dengannya. hambaMu yang jauh lebih alim dari aku. Berikanlah aku kekuatan dan keimanan untuk teruskan hidup dengannya. Berkatilah hijrah ku, izinkan aku memberikan cintaku kepadanya seusai aku melabuhkan cintaku kepadaMu.”
*****
Huda menerpa masuk ke dalam bilik kerja Khairi. Geram bila dihalang oleh setiausaha lelaki itu. Sudahlah panggilannya langsung tidak berjawab. Asyik dimatikan sahaja. “Khairi Adam!”
     Jerkahan kuat Huda mengejutkan Khairi yang sedang leka berdoa. Khairi bangkit dan menentang mata Huda. “Yes, I’m here!”
     “You jahat. Kenapa you buat I macam ni?”
     “I buat apa?” soal Khairi tidak tahu menahu.
     “I tak tahan lagi. I love you, Ery. I tak kisah kalau you nak kahwin sekali pun, tapi I tetap cintakan you.”
     “Eh, gila ke you ni. I dah nak kahwinlah. Nak cintakan you? Bakal isteri I pun tak pernah cakap macam ni.”
     “I don’t care..”
     “You don’t care, I care. Dah, get out!”
     “You buta ke, Ery. I jauh lebih cantik, jauh lebih seksi. Takkanlah you nak pilih perempuan bertudung labuh tu dari I? you dah kena bomoh ke?”
     ‘Sabarlah wahai hati. Kuatkanlah iman… ini hanya separuh dari cubaan dan hasutan syaitan yang menghalang usaha aku untuk berubah. Ya Allah.. permudahkanlah urusan hambaMu ini…’
     “Keluar dari sini..” Lembut suara Khairi meminta Huda keluar dari biliknya.
     “Ery!!!”
     “I said get out from my room now!!!” Khairi meninggikan suaranya. Amarah menguasai diri secara tiba-tiba. Tidak mahu melayan kerenah Huda yang menyesakkan dadanya.
     Huda meninggalkannya. Terlepas satu beban baginya. Lepas. Bebas.

Brek ditarik tangkas sebaik sahaja sebuah kereta berhenti mengejut dan menghalang keretanya di hadapan. Yuhanis mengucap panjang. Terkejut dengan hal itu. Setelah tenang dia memberanikan diri keluar dari keretanya sementelah keadaan jalan raya yang sibuk menjamin keselamatannya.
     “Apa yang kau dah racun fikiran Khairi?” soal Ridzuan sambil bercekak pinggang. Tajam matanya merenung ke dalam anak mata Yuhanis.
     ‘Apa hal pula si Ridzuan ni?’ Yuhanis mengetap bibir. Tidak tahu apa yang dimaksudkan Ridzuan. “Maksud awak?”
     “Aku tahu kau tu ustazah. Orang yang alim, kononnyalah. Kau tunang dia je tau… bukan isteri dia lagi. Siapa kau nak halang dia keluar dengan aku. Dengan Edward?”
     “Awak cakap apa ni? Masa bila saya halang dia dari jumpa awak? Saya tidak pernah halang dia bertemu, berhibur dengan kawan-kawan dia.”
     Ridzuan gelak besar. Pandangan matanya masih sama. “Dah tu, siapa pula yang merasuk kepala dia tu? Aku call, dia off. Aku ajak pergi kelab, dia tolak. Macam-macam alasan dia bagi. Eh, aku kenal dia. Dari kecil aku berkawan dengan dia. Dia takkan berubah selagi tak ada orang lain yang cuba menghasut dia. Ada faham?”
     Kata-kata Ridzuan disambut dengan gelak kecil Yuhanis. “Kalau awak kenal dia, awak takkan cari saya sekarang.”
     “Ustazah main dengan api ke?”
     “Ridzuan, saya tak pernah meracuni fikiran Khairi. Saya sedar siapa saya. hanya tunang dia. Bukan siapa-siapa. Awak tak perlu ajar saya. macam mana saya dapat ubah dia dengan sekelip mata sedangkan mama Khairi pun tidak mampu. Wanita yang hidup dengan dirinya selama 30 tahun… awak tak fikir ke?”
     “Kau jangan cuba nak mengajar aku?”
     “Kenapa? Fikiran orang yang berpelajaran Cambridge tidak boleh berlawan dengan saya yang lulusan Universiti Al-Azhar? Macam tu? Awak menuntut di sebuah tempat yang serba moden, Ridzuan. Tapi kenapa awak berfikiran sempit? Kekampungan!”
     “Kau dah melampau, Yuhanis.”
     Tersungging sebuah senyuman di bibir Yuhanis. Yakin dia menang dengan per‘debat’an antara dia dan Ridzuan. “Maaf, saya ada kerja yang jauh lebih penting dari berurusan dengan awak. By the way, saya tak sangka awak sanggup drive ke Pahang semata-mata mahu mengajar saya untuk berhadapan dengan lelaki lulusan Cambridge tapi berfikiran sempit.”
     Kata-kata yang lahir dari mulut Yuhanis nyata merupakan sebuah sindiran yang sangat tajam menghiris hati Ridzuan. Terpana lelaki itu seketika. Deruman enjin kereta Yuhanis kedengaran kuat. Bagaikan melepas amarah. Langsung dia tidak menyangka gadis yang bergelar ustazah itu terus memecut laju keretanya tanpa menantikan sebuah lori memintas. Hampir sahaja kemalangan besar berlaku. ‘Gila!’

Tubuh Puan Rashidah dipeluk erat sebaik sahaja dia tiba di rumah umminya. Di bahu wanita itu dia melepaskan tangis. Malang benar dirinya pada hari itu. Sangkanya selepas pertemuannya dengan Ridzuan, segalanya sudah selesai. Namun, dia tidak menjangka akan pertemuan lain bersama dengan seorang gadis. Gadis sama yang pernah dia lihat duduk dengan Khairi.
     “Inikah dugaan untuk pasangan yang mahu bernikah, ummi? Kenapa harus sekarang semuanya muncul? Anis tidak mampu, tidak kuat, ummi..”
     “Sabarlah.. ini ada hikmahnya.” Puan Rashidah memujuk lembut anak gadisnya itu. Air mata yang mengalir diseka.
     “Ummi, Anis tidak mahu Khairi terjerumus dalam lembah maksiat lagi.”
     “Berdoalah.. janga menangis. Tiada guna menangis tanpa usaha dan doa…”
     “Alangkah indanya jika malam ini merupakan majlis pernikahan Anis. Tidak sanggup Anis menanti hujung minggu ini untuk segalanya selesai.”
     Puan Rashidah hanya mampu menggelengkan kepalanya. Pening dengan sikap keanakkan Yuhanis. “Anis, Anis…”
*****
Masjid Wilayah Persekutuan
Yuhanis melangkah masuk ke dalam perkarangan masjid dengan berhati-hati. Risau tersadung pada kain baju jubah pengantinnya. Selendang panjang yang ditiup angin dipegang elok agar tidak terangkat dan menampakkan tubuh badannya. Langkahnya makin perlahan bila memandang Khairi di suatu sudut masjid. Lelaki itu sedang berteleku sambil memegang sesuatu.
     Nafas dihelakan bila lelaki itu tidak langsung menoleh ke belakang walaupun ada seorang lelaki berbisik dengannya. ‘Dia fikir apa?’ soalnya di dalam hati. Wajah umminya dipandang. “Ummi…”
     “Jangan! Jangan pernah biarkan syaitan mengacau fikiran Anis. Ini semua mainannya. Ingat!”
     Hanya anggukan kecil yang Yuhanis mampu berikan. Takut, resah dan segalanya bagaikan bercampur baur. Dia lemas dengan keadaan itu.
     Tepat jam 12 tengah hari, Khairi bangkit dan menuju ke hadapan Tuan Rashid. Mereka berbual seketika sebelum Khairi duduk di atas sebuah kusyen besar berhadapan Tuan Rashid. “Ready?” soal Tuan Rashid mengusik bakal menantunya itu.
     “Insya-Allah,” sahut Khairi tenang. Dia benar-benar sudah bersedia. Dua minggu lamanya dia menghilangkan diri semata-mata mahu menenangkan fikiran dan bertaubat. Mempelajari ilmu agama serba sedikit sebelum menempuh hari pernikahannya. Dia sama sekali tidak mahu digelar lelaki dayus, tidak tahu agama tetapi mahu bernikah dengan seorang gadis yang alim.
     “Alhamdulillah, boleh mula sekarang?” Pertanyaan Tuan Rashid hanya dibalas anggukan kecil Khairi. Dia yang akan mewalikan pernikahan anak gadisnya itu. Dia tidak mahu melepaskan peluang sekali dalam seumur hidup. Hanya Yuhanis satu-satu anaknya.
     “Berhenti!!!” jeritan Huda bergema tiba-tiba di dalam masjid.
     Yuhanis tersentak dan terus terputus doa yang dibacanya tadi. Dia memanjangkan lehernya memandang Huda.
     Khairi yang sudah berpegang tangan dengan Tuan Rashid untuk upacara akad melepaskan pegangan tangan dan menoleh ke belakangnya. Dia mengeluh berat melihat Huda yang masuk ke dalam ruang solat dengan hanya mengenakan sepasang gaun pendek paras paha. ‘Masya-Allah…’
     Langkah gadis itu terhenti. Puan Marina menghalang gadis itu dari menghampiri tetamu yang hadir. Tidak mahu gadis itu merosakkan upcara akad nikah yang dilangsungkan.
     “You tak boleh kahwin dengan dia!” Huda meluruskan jari telunjuknya tepat ke arah Yuhanis sebelum berkali ke arah Khairi. “I’m pregnant. Anak dia!”
     ‘Ya Allah.. aku tidak mahu mempercayai apa-apa. Ya Allah.. di rumahMu ini, aku bermohon, kuatkanlah semangat kami untuk meneruskan ikatan suci ini…’ mohon Yuhanis. Dia memandang abinya. “Abi, teruskan…”
     Umminya di sisi hanya mampu mendiamkan diri. Dia yakin apa yang dilakukan Yuhanis. Gadis itu tidak akan bertindak selagi hatinya tidak yakin. Biarlah..
     “You tak malu ke kahwin dengan lelaki bertaraf binatang macam ni, Ustazah Yuhanis?”
     Pandangan mata Yuhanis terus menatap wajah bakal suaminya. “Saya tak malu bersuamikan Khairi. Tapi saya lagi malu jika memasuki rumah Allah ini tanpa berpakaian.”
     Dia masih tenang. Seharian berzikir dan bertahajud, menyakinkan dirinya akan segala yang berlaku pada hari itu. Tiada apa yang mampu dia lakukan selain berserah dengan tuhan yang satu.
     Ketenangan Yuhanis menggamit hati Khairi. Betapa tulusnya wajah itu mengungkap bait-bait ayat tersebut tanpa rasa malu. Dalam rasa rendah diri, dia bertambah terkejut bila tangannya digenggam Tuan Rashid.
    “Kita teruskan..”
    Khairi mengangguk kecil. Huda yang merengus kemarahan tidak mampu menghalang dari segalanya berlangsung. Akhirnya dia meninggalkan kawasan masjid dengan marah yang membuak-buak. Tekad di hati, dia akan membalas dendam terhadap Yuhanis. Nekadnya, Khairi mesti menjadi miliknya. ‘Harta dan dirinya, harus menjadi milik aku!’
    
Kelu lidah Khairi memandang Ridzuan yang melangkah menghampirinya. Edward yang sudah lama tidak diketemuinya pula mengekori di belakang Ridzuan. Penampilan dua orang rakannya pada hari itu tampak berbeza seperti sebelumnya.
     “Assalamualaikum kawan.”
     Khairi menyambut salam sebelum bersalaman dan berpeluk dengan kedua-dua orang rakannya itu. “Smart korang aku tengok.”
     “Teringin juga nak merasa.” RIdzuan menyahut lalu tergelak-gelak. Sengaja dia berpusing-pusing di hadapan Khairi menunjukkan baju melayunya itu. “Aku beli khas untuk datang majlis kahwin kau ni. Mungkin selepas ini, ada koleksi pula.”
     “Tapi, apa yang terjadi?”
     “Hello Khairi, tak boleh ke kami berubah?”
     “Drastiknya. Baru dua tiga minggu lepas korang…”
     “I don’t know, but I realize that this world not the matter of money. But it is about religion, our faith… hidup tidak akan ke mana-mana even duit penuh di poket.”
     “Kalau kau tanya aku, jawapan aku sangat simple. Aku rasa budak Cambridge macam kita terlalu kolot berbanding budak Al-Azhar.. dunia kita dulu terlalu sempit..”
     Yuhanis yang mendengar hanya mampu mengukir senyuman kecil.
     Ridzuan memandang Yuhanis. “Thanks Yuhanis. Mungkin aku agak melampau sebab buat kau macam tu. Tuduh kau macam-macam. Tapi, kau dah sedarkan aku.”
     “Tak apalah Ridzuan. Saya main cakap je. Kadang-kadang, api akan padam juga. Kalau simbah dengan air pun, belum tentu akan kalah.”
     “So, semua dah okey? Dah taubat?”
     “Lepas ni bukan masuk kelab malam. Tapi kelas agama!” ujar RIdzuan lantas disambut tawa Edward. Khairi yang terpinga-pinga akhirnya dapat menangkap maksud Ridzuan. Dia senyum.
     “Thanks Yuhanis. Awak dah ubahkan kawan saya dua orang ni even saya rasa agak susah nak dipercayai dan tidak berapa nak logic. Apa-apa pun, terima kasih banyak-banyak.” Khairi spontan mencium dahi Yuhanis membuatkan isteri yang baru dinikahinya itu tertunduk malu.
     Edward dan Ridzuan hanya mampu menggelengkan kepala bila Yuhanis menepuk lembut bahu Khairi. Tanda tidak suka dengan tingkah suaminya. Malu.
     “Yuhanis..!!!”
     “Khairi?” Ridzuan menyoal. Terjongket sedikit keningnya. Dia tidak pernah lagi kenal Huda.
     “I hate this moments!” getus Khairi. Dia memandang sekelilingnya. Mujur tetamu ramai yang sudah pulang. Yang tinggal hanya jiran tetangga dan kawan-kawannya. Rangkulan yang baru singgah di pinggang Yuhanis dilepaskan lantas dia menapak ke hadapan. “What’s the..”
     “Jangan bergerak!!”
     Masing-masing tergamam dengan kehadiran sepasukan anggota polis di situ. Semua mata yang ada di situ tertumpu pada Khairi dan Huda. Perasaan ingin tahu mencanak naik menyebabkan Yuhanis pengsan kerana terlalu letih.
*****
Berpinar mata Yuhanis sebaik sahaja bangkit. Sedar dari pengsannya itu, wajah Khairi menyapa lembut dengan sebaris senyuman. Indah sekali senyuman itu memaksa Yuhanis turut tersenyum.
     “Ya zaujah…”
     “Jam berapa sekarang?”
     “Maghrib times.”
     Yuhanis mengeluh panjang. Terkilan. Sudah terlepas Asar tanpa disedari. “Awak? Okey ke?”
     “Saya okey. Semuanya dah selesai.”
     Dahi Yuhanis berkerut.
     “Polis yang datang tu mahu tangkap Huda sebenarnya. Ingat tak masa di masjid dia cakap dia pregnant?” Yuhanis mengangguk. “Actually dia palsukan keputusan kehamilan tu. Dia minta seorang doctor jadikan saya bapa kepada anak dalam kandungan itu. By the way, I’m save when the doctor do a report.”
     “Errr… se… se… ka.. rang?”
     Khairi mengukir senyuman menggoda. Matanya melirik manja mengusik Yuhanis. Perlahan-lahan dia menunduk dan menghampiri isterinya. “Kita tunaikan solat Maghriblah, apa lagi?” bisiknya membuatkan Yuhanis ketawa geli hati. Manja keletahnya menggamit Khairi. “Saya mahu jadi imam awak. Untuk sepanjang hayat..”
     “Sudah tentulah awak akan jadi imam saya sepanjang hayat. Selagi zauj saya adalah awak, dan selagi zaujah awak adalah saya.” Yuhanis menyahut lembut. Malu. Lengan Khairi dicapai dan dipeluk kemas.
     Langkah Khairi terhenti. Dia memandang Yuhanis dengan pandangan tajam. “Tak sangka betul, awak ni gedik juga erk?”
     “Saya memang gedik, saya manja, saya nakal… macam-macam lagilah. Tapi… semua tu, hanya awak seorang je boleh rasa, tengok dan hayati.”
     “Beruntungnya saya…”
     “Tahu tak mengapa!”
     “Dah, dah.. solat dulu. Lain-lain kita tangguhkan. Malam ini terlalu panjang untuk kita!”

Selesai berdoa, Khairi memalingkan tubuhnya. Menghadap Yuhanis. Alangkah terkejutnya dia bila melihat isteri yang baru dinikahi itu sedang menitiskan air mata. “Kenapa menangis?”
     “Saya tertanya-tanya. Kenapa awak nak kahwin dengan saya. awak ada harta, rupa dan segala-galanya yang diperlukan seorang lelaki. Awak boleh dapat gadis yang jauh lebih hebat dari saya. saya menangis, sebab bersyukur. Awak menerima saya seadanya. Awak tidak ubah saya untuk mengikut kehendak hati awak. Saya tahu, sepanjang pertunangan kita, awak melawan nafsu awak. Bila jumpa saya, kena bertiga. Kadang-kadang awak tahan diri untuk pegang saya. nak bergurau pun awak jaga batasnya. Semua yang pernah awak lakukan dengan orang lain terpaksa ditahan-tahan. Saya…”
     “Syhh.. syhh… saya tak kisah. Saya cintakan awak. Saya pilih awak sebab awak jauh lebih menarik di mata saya. saya pilih awak sebab awak tidak mungkin akan berpaling mencari yang lain jika apa yang saya ada sekarang ni tiada lagi. Bagi saya awak ni kad top up bagi kekurangan kredit yang ada dalam hidup saya. awak menyempurnakan hidup saya.”
     “Tapi, awak yakin saya mampu mencintai awak? Awak? Akan terus mencintai saya?”
     “insya Allah. Saya akan terus mencintai awak. Langkah pertama…”
     “Apa?”
     Khairi bangkit dari duduk. Dia mencapai sesuatu di dalam beg pakaiannya. “Bulan madu! Kita tunaikan umrah.”
     “Betul ke ni? Ya Allah, bestnya!”
     “Serius. Langkah kedua, awak tak nak ke panggil saya dengan panggilan yang manja sikit. Sejuk sikit telinga saya dengarnya.”
     “Erm… okey. Yang ketiga? Atau dah tak ada?”
     “Erm… sambung hari lain, pada waktu yang lain. Penatlah!”
     Yuhanis tergelak manja. Dia bangkit dan mendapatkan suaminya itu. Tubuh tegap itu dipeluk erat. “Saya akan cuba mencintai zauj saya ini. Insya-Allah.”
     “Ya, sila berikan cinta itu kepada diri ini.”
     Yuhanis mengangguk-angguk dan terus mengeratkan lagi pelukan di tubuh Khairi.
    

4 comments:

miss disya said...

best!!!good job writer......keep it up....

Anonymous said...

cerita ni bagus sgt... ada pengajran yg bleh sy dpt.. harap lepas ni, awk dpt kaji lg hubungan ikhtilat antara lelaki dan perempuan.. sy bimbang ia bleh jd fitnah kepada perkara yg lain..

DeeYaaNaa said...

terima kasih di atas komen. sayasgt mghargainya. insya-Allah saya akan kaji dan terusmemperbaiki fakta penting yg perlu dijaga...

DeeYaaNaa said...

tq so much.