Wednesday, October 24

Tak Kisah part 5


*****
Dua bulan kemudian…
Aku termenung memandang skrin telefon bimbit. Ada satu mesej yang baru masuk dalam peti masuk. Aku mengeluh panjang dan membaca sekali lagi isi mesej tersebut.

-Saya Fahkry. Saya nak ajar awak keluar. Sebolehnya ingin berkenalan dengan awak-

“Macam mana ni, Rina? Aku takutlah nak keluar dengan dia.”
     “Keluar jelah. Tunang kau, kan?”
     “Kau cakap senanglah. Time aku keluar dengan dia nak cakap apa? Aku mana pernah keluar berdua dengan lelaki. Hurmm.. eh, kau temankan aku.”
     “Eh, tak naklah. Mengacau je. Kau keluar je dengan dia. Kalau kau tak nak, kau cakap kat dia yang kau tak sihat ke, kau ada assignment ke. Insya-Allah dia faham.. itu pun kalau dia cerdik!”
     Rina sudah tarik selimut menutupi tubuhnya. Cukup untuk memberitahu aku dia tidak mahu membantu aku menyelesaikan masalah.
     Beeepp.. beeepp...
     Telefon bimbit aku bergetar lagi. Ada mesej masuk lagi.

-Saya dah sampai depan asrama awak-

Nak tak nak aku melompat turun dari atas katil. Aku capai baju kurung dan sehelai tudung yang sudah siap aku seterika. Aku terus bersiap ala kadar. Selesai berpakaian aku mencapai beg sandang dan tanpa berpamitan dengan Rina aku keluar.
     Aku terkedu melihat Syahril berdiri di luar kereta. Pandangan aku berkalih ke arah lelaki yang baru melangkah turun. Aku mengamati seketika wajah Fakhry. Dia tampan, jauh lebih tampan dari Syahril. Matang, tidak ada rupa keanak-anakkan seperti Syahril. Ketinggian yang sama dengan Syahril. Oh ya, kenapa perlu aku membandingkan mereka?
     “Assalamualaikum.”
     “Waalaikumsalam.”
     “Erm.. maaflah. Saya bawa adik saya sekali. Saya takut ada mata yang melihat pula nanti kalau kita keluar berdua. Tunang bukan lesen untuk berduaan bukan?”
     “Tak, saya tak kisah.”
     Aku menjeling Syahril yang tersenyum. Entah apa yang melanda diri aku, aku membalas senyumannya. Buat pertama kalinya.
     “Kak Amni, mana cincin?” soal Syahril. Aku terkedu. ‘kak Amni’ dan kenapa hati aku rasa lain. Mengapa hati aku perlu rasa sakit dan bagaikan dihiris sembilu.
     Fakhry memandang aku dengan kerutan di dahi. “Erm.. mana cincin awak?”
     “Longgar. Lebih baik tak pakai dari hilang, kan?”
     Ya Allah, aku mampu menjadi pembohong terbaik. Semuanya gara-gara aku tidak merelakan pertunangan itu terjadi walaupun pada hakikatnya aku bersetuju untuk ditunangkan. Tidak, aku rasa bersalah.
     Syahril tersengih bagai dapat mengagak gelojak perasaan aku. Grr.. aku geram!
     Kelihatan Fakhry tidak mahu memanjangkan perbualan. Dia membukakan pintu untuk aku. Aku duduk di bahagian depan bersebelahannya dan Syahril terus masuk ke bahagian belakang. Dia duduk di bahagian belakang aku.
     “Nak ke mana?” soalku. Terasa bodoh kalau mengikut tanpa mengetahui arah tuju.
     “Makan, jalan-jalan..”
     “Ohh..”

Hati ini kadang-kadang jauh lebih bijak dari akal. Hati dapat membaca apa yang akal tidak mampu fahami. Seharian suntuk aku keluar dengan Fakhry dan Syahril. Ternyata dua beradik itu mempunyai perbezaan yang ketara.
     “Awak tak selesa dengan abang saya.” syahril mendekati aku sebaik Fakhry meminta diri untuk ke bilik air.
     “Seperti saya tidak selesa bersama dengan awak.”
     “Maksud saya.. awak jauh lebih tidak selesa bersama dengan dia. Awak seperti menjadi orang lain. Mengiyakan apa yang sepatut awak nafikan, dan menafikan sesuatu yang awak patut iyakan. Jelas.”
     “Mungkin sebab ini pertemuan pertama?” putusku. Aku yakin segalanya kerana Syahril. Hatiku berdegup kencang. Kalau dulu ia tiada, tapi sekarang ia muncul mendadak. Berdiri antara Fakhry dan Syahril membuatkan aku rasa lain. Dekat dengan Fakhry, aku biasa. Dekat dengan Syahril, aku terpana.
     “Abang Fakhry bukan lelaki yang romantic. Sama seperti saya. dia matang. Dia berjiwa besar, dan dia.. ego.”
     “Dia dan awak, lain. Apa yang saya rasa ketika bersama kalian.. lain.”
     “Sebab saya pernah ucapkan I love you pada awak, dan dia tidak pernah.”
     Aku tergamam.
     “Rancak berbual. Apa cerita?”
     Aku berpaling. Aku senyum. “Kuliah.”
     “AMni ada nak ke mana-mana?”
     “Makan. Lapar.” Syahril menyahut pantas sebelum aku sempat menjawab.
     “Mari, saya tahu satu tempat yang sedap makanannya.”
     Aku mengangguk sahaja.

Aku memandang menu yang dipegang. Pelbagai jenis lauk pauk yang disenaraikan di situ dan langsung tiada satu yang menarik hati aku.
     “Lagi?”
     “Chicken chop satu.”
     Aku pandang Syahril dan dia memandang aku. Barangkali terkejut bila aku dan dia memesan makanan yang sama. Aku tersengih berlagak biasa.
     “Air?”
     “Cappucino blended!”
     Sekali lagi kami sama. Aku terdiam. Panahan mata Fakhry membuatkan aku rasa segan. Tidak, aku bukan segan. Cuma aku rasa, lelaki itu mulai syak.
     “Erm, banyak persamaan. Tidak sangka.”
     “Kebetulan!” sahut Syahril seraya membetulkan kemejanya.
     “Hai Ary!”
     Aku mendongak. Melihat gadis yang baru menyapa Fakhry. Kelu lidahku.
     “Emira. Err..” Fakhry bangkit. Dia memandang aku dan Syahril bersilih ganti.
     Syahril mengerutkan dahi. “Kak Emi buat apa di sini?”
     “Temu janji dengan Ary.”
     “Ary, err… tapi…”
     “Ril, abang terpaksa jujur. Actually abang cintakan Emira.”
     “Serius?” Syahril teruja. Dia bangun dan terus memeluk Fakhry.
     Ya Allah, aku tersepit. Apa semuanya ini?

Aku menangis sepuas-puasnya. Terkilan dan malu. Aku terkilan kerana bertunang dengan lelaki yang aku tidak cinta dan aku sangatlah malu untuk berhadapan dengan Syahril. Lelaki yang aku habis-habisan tidak mahu.
     “Nah, tisu. Laplah air mata tu.”
     Tisu yang dihulurkan Syahril aku ambil untuk mengesat air mata. Aku pandang dia. “Terima kasih sebab sudi temankan saya.”
     “Untuk awak, saya sanggup buat apa sahaja. asalkan awak gembira, Amni.”
     “Tak sangka, hari ini merupakan hari pertama dan hari terakhir untuk saya keluar dengan tunang sendiri. Sadis!” gumamku.
     “Awak sedih?”
     “Sedikit. Tapi.. entah kenapa saya tak rasa hati saya sakit. hanya sedih. Sedikit terluka.. tetapi tidak berdarah.”
     “menangislah sepuas hati awak kalau itu yang terbaik.”
     “Saya dah puas menangis. Rasanya dah tak ada sebab untuk saya menangis. Life must go on!”
     Syahril tersenyum. “That’s my girl. Saya tahu awak kuat.”
*****
Rahsia itu aku pendamkan. Untuk hati sahaja. aku tidak mahu menidakkan kepedihan di hati tetapi biar ia sekadar peringatan. Aku tergelak kecil. Lucu terasa. Tidak menyangka akan sesuatu. Fakhry bersetuju untuk bertunang dengan aku kerana mahu mengelakkan diri dari Emira yang tua darinya tiga tahun. Aku pula bersetuju untuk ditunangkan dengan Fakhry kerana ingin lari dari gangguan Syahril yang muda dari aku empat tahun. Kini, status aku bagai terumbang ambing.
     “Saya rasa bersalah bila abang buat awak macam ni.”
     Beberapa kali Syahril berkata sedemikian. Sejak rahsia itu bocor, aku lihat Syahril semakin mendekati aku. Setiap hari dia akan ada di sisi aku. Memberi nasihat dan menceriakan aku.
     “Tak apalah. Abang awak jujur. Saya dapat terima hakikat.”
     “Tapi dia buat awak terluka.”
     Benar hati aku memang terluka. Tetapi, luka itu bagai dirawat dengan kehadiran SYahril. Aku rasa dia seperti ubat yang aku makan untuk terus sembuh. “Luka saya dah sembuh dengan kehadiran awak, SYahril.”
     “Amni, saya masih cintakan awak. boleh tak saya mencintai awak?”
     Aku mendiamkan diri. Memikirkan jawapan. Di hati aku berkata ya, tetapi akal berkata tidak. Bercanggah. Kadang-kadang aku dapat rasakan keserasian antara aku dan Syahril.
     Sedar atau tidak sedar, sebenarnya aku bagai mahukan dirinya berdamping dengan aku. Kehadirannya seringkali membuat aku tertunggu-tunggu dan gembira. Suaranya juga dapat membuat aku rasa bahagia berbunga-bunga. Perhatiannya dan segala yang berkaitan dengan Syahril mampu membuatkan aku jatuh cinta.
     Dahulu, mungkin aku berkata tidak kerana tidak mampu menerima kenyataan dia lebih muda dari aku. Tetapi sekarang.. sedikit sebanyaknya aku rasa dia adalah yang terbaik di mata. Ya, yang terbaik. “Boleh.”
     “Kenapa boleh? Sebelum ini awak tak nak.”
     “Saya selesa dengan awak. boleh terima jawapan tu?”
     “Tidak terlalu cepat untuk bertukar fikiran? Mungkin sebab abang saya dengan Kak Emi buat awak begitu?”
     Aku diam. Sebab itu atau aku benar-benar selesa dengannya?
     “Awak dah tanggal cincin yang abang saya beri.”
     “Saya tak suka pakainya.”
     “Kenapa awak tak suka?”
     “Eh, saya tahu kenapa saya selesa dengan awak. apa yang saya nak cakap dengan awak, mesti jujur. Kalau dengan abang awak, saya rasa seperti terpaksa..”
     Syahril tergelak lucu. “Akhirnya terserlah juga apa yang terbuku dalam kepala awak tu kan?”
     “Ahmad Syahril bin Ahmad Syahrom, awak tak kisah kan kahwin dengan saya?”
     “Hah?”
     “Gantikan tempat abang awak di majlis perkahwinan kami nanti?”
     “Eh, awak bergurau ke Amni?”
     “Tak, saya tak bergurau.”
     “Saya tak kisah! I will.”

Kaki Rafiq aku tendang dengan sekuat hatinya. Geram bila dia asyik bermain dengan androidnya dan aku turut sakit hati bila melihat Ira asyik dengan telefon bimbitnya. Aku pandang Jiha dan Rina yang ralit mencari jawapan di dalam komputer riba masing-masing. Pelik.
     “Fiq, Ira, what’s wrong?”
      “Hah, tak ada apa!” Serentak mereka menjawab. Terkejut barangkali. Aku lihat Jiha dan Rina memandang aku dengan pandangan yang pelik.
     “Erm.. aku nak kongsi satu cerita ni. Tapi aku takut korang terkejut atau marah ke apa. Aku nak korang faham aku dalam situasi aku.
     “Tentang?” soal Ira dengan kening yang terjungkit.
      “Aku dengan Syahril.. bercinta!”
     Terus mereka berempat memandang pelik. Aku senyum sahaja. pagi tadi aku dah berterus terang dengan Syahril. Aku rasa itu pilihan yang paling tepat. Bersama dengan dia, aku rasa bebas. lepas aku meminta dia kahwin dengan aku dan menggantikan tempat Fakhry, aku rasa tenang dan damai.
     Rina menepuk pehaku. “Fakhry?”
     “Ni yang aku nak ceritakan kepada korang.”
     Habis sejam masa rehat aku terbuang dengan bercerita mengenai kisah yang berlaku di antara aku, Syahril dan tunang aku, Fakhry. Terlopong mulut kawan-kawan aku mendengar cerita. Tak ada seorang pun yang membuka mulut menyelit.
     Air minuman Ira aku ambil lalu bibir cawan aku suakan ke bibir. Dahaga.
     “Hai semua kakak-kakakku!”
     Hampir tersedak aku mendengar sapaan Syahril yang bersahaja. Lekas aku menoleh dan aku terus tersenyum. Ya, aku tidak tahu kenapa. Sejak aku bertunang dengan abangnya, aku sering menantikan kehadiran dia dan sekarang, bila dia muncul di hadapan aku pasti aku akan tersenyum. Bahagia. “Hai Syahril.”
     “Hai Amni!”
     “Oh… kami bertiga hang panggil kakak, Amni elok hang panggil nama je.”
     “Sebab nanti senang. Takkan dah kahwin nak panggil kakak. Tak syok!” sahut Syahril nakal. Dia mengenyitkan matanya.
     Rafiq tergelak. “Bagus. Dah praktik. Tapi nanti macam mana? Amni still tunang Fakhry, kan?”
     “Nanti kami planlah.”
     “Actually kenapa abang awak kena tunang dengan Amni sedangkan dia ada kekasih?” Rina menyoal Syahril dengan wajah yang serius.
     “Mak saya tak suka Kak Emi sebab dia tua dari abang Fakhry. That’s why bila nenek cadang untuk jodohkan abang dengan Amni, mak setuju. Abang terpaksa sebab abang tidak pernah akan menolak permintaan mak.”
     “Boleh tahan juga kau dengan abang kau ya. Suka perempuan tua sedikit dari korang.”
     Serentak aku dan yang lain-lain ketawa besar. Ya, nampak lucu di situ. Benar kata-kata Rafiq. Ternyata mereka adik-beradik mempunyai satu persamaan ketara. Menyukai gadis berusia!
     Syahril tersengih.
*****
Suara Puan Masyitah bergegar di setiap sudut rumah. Merah wajahnya menahan marah bila dikhabarkan hal yang sangat tidak disukainya. Wajah kedua-dua orang anaknya dipandang. “Mak tak kira. Fakhry kena kahwin dengan Amni dan Syahril kamu jangan nak menggatal. Habiskan study dulu! Mak tak setuju kalau kamu nak kahwin dengan Emira!”
     Kaki Fakhry laju menolak kaki Syahril. Keningnya dijungkitkan.
     “Mak, takkanlah kami tak boleh..”
     “No!” Kata-kata Syahril lantas disekat. Tidak mahu mendengar sebarang alasan dari anaknya itu.
     “Kalau macam tu, Ary tak nak kahwin. I don’t love her, mak!”
     “Tak nak kahwin? Yang pergi setuju nak kahwin dengan dia dulu tu kenapa? Nak malukan mak?”
     “Masalahnya Ary cintakan Emira, dan Amni tidak cintakan Ary. Dia cintakan Syahril!” ujar Fakhry tidak mahu mengalah. Sekilas dia memandang ayahnya yang mendiamkan diri. Tiada gaya akan menolong. “Please mak. Fahamlah yang kami sudah ada pilihan masing-masing.”
     “Mak tak faham dan tak nak faham. Macam mana kamu berdua ni boleh bercinta dengan budak perempuan yang tua. Tak ada yang muda ke untuk dibuat kekasih?”
     “Jodoh, mana boleh halang!” celah Syahril. Dia mencuri pandang wajah emaknya yang sedang marah. Gerun!
     “Assalamualaikum!”
     Adila, adik bongsu mereka berlari masuk ke dalam rumah dan terus memeluk tubuh Puan Masyitah. “Mak, nak tahu tak tentang sesuatu?”
     “Ada apa, Dila?”
     “Kat sekolah tadi, ada budak lelaki tingkatan 3 bagi surat cinta kat Dila. Dia cakap..”
     Spontan Puan Masyitah memegang dahinya. Pening. “Abang, cuba awak nasihatkan anak-anak awak ni. Kenapalah…”
     Encik Wahid tergeleng-geleng. “Mas, biarlah mereka. Yang nak kahwin mereka, bukan awak. pedulikan apa orang nak cakap. Kita hidup di zaman millennium bukan di zaman tok kaduk.”
     Akhirnya ayah mereka memberikan pandangan. Terdiam sebentar Puan Masyitah. Adila yang tidak tahu apa-apa hanya menggaru kepala.
     “Lantak koranglah. Asalkan korang bahagia!”
     “Yes!” jerit Fakhry dan Syahril serentak. Puan Masyitah membuntangkan mata manakala Encik Wahid hanya mampu tersengih-sengih.