Tuesday, June 4

sedutan bab 64 SAAT CINTA TERCUIT

Berkobar-kobar semangat Syahrul sebaik sahaja kakinya melangkah masuk ke dalam hospital. Tidak sabar untuk bertemu dengan Qaisara. Hatinya melonjak-lonjak supaya langkahnya dilajukan menuju ke wad. Azhar yang mengekori dari belakang hanya mampu menggelengkan kepalanya. Kelakar melihat Syahrul yang terburu-buru itu.

     Langkah kaki Syahrul berubah rentak. Perlahan dia menghampiri kedua orang tuanya yang sedang menunggu ketibaannya di luar wad. Bercampur baur perasaannya melihat kemurungan di wajah Tengku Jamil dan Tengku Khalidah.

     “Walid, ummi..”

     Tubuhnya terus dipeluk erat kedua orang tuanya. Kedengaran esak tangis mereka membuatkan dia kehairanan. Apa yang dah berlaku? Bukankah dirinya sudah selamat. Matanya dipejam erat bila sebaris nama tiba-tiba sahaja muncul di fikirannya. “Sara, mana isteri Syah? Syah nak jumpa dia..”

     Tengku Jamil menghalang langkah Syahrul. “Sabar, Syah. Doktor sedang merawat Sara.”

     “Kenapa lama sangat? Sara hanya perlu dapatkan rawatan sampingan sahaja. Syah nak masuk dalam..”

     “Syah, sabar. Jangan macam ni. Doktor sedang usahakan yang terbaik untuk selamatkan Sara.” Tengku Khalidah cuba menenangkan Syahrul. Tidak tenteram hati kecilnya melihat Syahrul sebegitu rupa.

     “Hanya Sara? Anak dalam kandungan Sara?”

     Pertanyaan Syahrul memaksa Tengku Jamil untuk memeluknya. “Anak dalam kandungan isteri kamu tidak dapat diselamatkan. Doktor tidak dapat selamatkan anak kamu. Kandungan dadah yang digunakan Izreen bagi melemahkan Qaisara terlalu tinggi.”

     “Astaghfirullah.. anak Syah! Syah sudah kehilangan anak..”

     Tubuh Syahrul jatuh terduduk. Tidak sempat Tengku Jamil dan Azhar menangkap tubuhnya itu. Tengku Khalidah sudah teresak-esak menangis mendengar raungan anak lelakinya. Dia faham perasaan yang ditanggung Syahrul. Tidak ubah seperti perasaannya ketika kehilangan Yusri suatu ketika dahulu.

     Seorang doktor keluar lima belas kemudiannya. Syahrul kelihatan sudah tenang walaupun jauh di dasar hatinya dia tidak mampu mengawal perasaan duka. Tengku Jamil mendapatkan doktor tersebut setelah tiada reaksi dari Syahrul.

     “Bagaimana dengan menantu saya?”

     “Tengku jangan khuatir. Menantu Tengku selamat. Dia sudah stabil dan akan dibawa ke wad. Sekarang dia masih belum sedar kerana masih berada di bawah pengaruh ubat. Insya-Allah, dalam masa sejam dua, dia akan sedar.”

     “Terima kasih, doktor.”

     “Isteri Syah, selamat. Jangan sedih macam ni. Syah kena kuat untuk Sara. Kalau Syah sendiri tidak dapat mengawal perasaan, bagaimana Sara? Dia seorang wanita, hatinya kecil. Kehilangan anak yang dikandung sememangnya menyakitkan. Jika Syah sendiri tidak mampu untuk menanggungnya, apatah lagi Sara.” Tengku Khalidah bersuara lembut dalam serak suaranya. Belakang tubuh Syahrul diusap penuh kasih.


     Muka yang sembab dengan tangisan diraup. Syahrul bangkit dan langkahnya menuju ke tandas di hujung bangunan. Azhar mengekori langkahnya bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini. 

3 comments:

Anonymous said...

kenapa

baby mio said...

X SABAR TUNGGU NOVEL.

wida said...

bila novel nk kuar?