Monday, July 15

The Little Things part 2

Gerak geri Syameer yang sedang mengerjakan solat subuh diperhati. Bacaan yang dilafaz Syameer kedengaran merdu dan tertib. Dia tersenyum mengenangkan sikap Syameer itu. Sejak dia mengenali Syameer buat pertama kalinya, dia sudah mengetahui serba serbi mengenainya. Lelaki itu seorang yang tenang, tidak mudah melatah dan.. sehalanya kelihatan sempurna. Jadi, siapa yang tidak akan jatuh cinta dengannya.

     “Dah bangun? Awak nak solat?”

     “Tak, saya tak boleh,” ujar Izati perlahan. Dia turun dari atas katil. “Pinjam tuala. Saya nak mandi.”

     Syameer mengangguk. Langkah Izati dibiarkan sahaja. Dia lebih mahu melelapkan mata di atas katil. Tubuhnya benar-benar tidak mampu menerima bentuk fizikal sofa sebagai alas tempat tidur.

     Kira-kira 20 minit kemudian, Izati keluar dari bilik air. Lengkap dengan pakaian sama yang dia pakai untuk tidur. Bezanya, dia tidak memakai seluar dan hanya memakai baju tidur milik Syameer. Cukup untuk melindungi tubuhnya sehingga paras bawah pinggang. Tuala dililitkan di atas kepala. Kakinya melangkah mendapatkan Syameer yang sedang tidur. “Encik, Encik..”

     Tubuh Syameer bergerak. Mengubah posisi pembaringannya. Sengaja mahu mengenakan Izati.

     “Encik, Encik..”

     Dengkuran halus kedengaran meletus keluar dari dua ulas bibir Syameer.

     Izati mendengus kasar. Bahu Syameer dicuitnya. “Isy.. bangunlah.”

     Tiada reaksi dari Syameer. Semakin membuak rasa sakit di hati Izati dengan Syameer. Dia mencapai lengan Syameer dan mahu menariknya agar lelaki itu memusingkan tubuh ke arahnya. Lembut pegangannya menggamit Syameer untuk mengusik lebih. Tangan Izati dipegang dan terus ditarik. Isterinya itu terbaring di atas tubuhnya. “Ya, ada apa sayang?”

     “Err..” Dada Izati berombak kencang. Masih terkejut. suara Syameer berjaya membuat dia tidak tentu arah. Begitu perlahan di telinga namun cukup kuat auranya. Dia kaku. Lidah kelu.

     Cupp!

     Sebuah kucupan singgah di dahi Izati. Dia senyum bila Izati melarikan pandangan ke tempat lain. “I love you, Zati.”

     Izati menggeleng-geleng. “Tak, ini salah,” jawab Izati. Dia cuba untuk bangun dari baringnya. Namun Syameer mengeratkan pelukan di tubuhnya. “Lepaskan saya..”

     “Apa yang salah? Saya suami awak, dan awak isteri saya. Salah ke saya mencintai isteri saya sendiri?”

     “Saya tak cintakan awak!” Izati sudah menggantikan panggilan encik kepada awak. Lebih selesa.

     “Sampai mati saya mencintai awak.”

     “Sejak bila gadis gempal macam saya ni jadi idaman gadis impian awak? Bukan ke suatu ketika dahulu awak pernah kata muka saya ni berjerawat, tak cantik, suara kasar.. apa yang dah berlaku pada  awak sampai sanggup terima saya? Dua tahun kehilangan saya.. memang ada perubahan pada saya. Muka saya dah bersih. Itu je perubahan terbesar. Saya masih gempal, masih kasar… saya..”

     Bibir yang bergerak-gerak itu akhirnya terhenti bila Syameer bertindak nakal. Perlakuan untuk kali keduanya itu begitu lama. Sehinggakan Izati tidak mampu mengawal perasaannya. Dia menangis.

     “Dengar sini, Izati. Saya akan tetap mencintai awak walau bagaimana bentuk paras rupa awak. Saya mula cintakan awak bila awak sudi menerima saya sebagai kawan suatu ketika dahulu di mana semua orang mengatakan saya mempunyai sakit mental kerana tidak ada seorang pun yang mahu berkawan dengan saya. Saya mula cintakan awak bila awak tidak mengejar harta keluarga saya semata-mata tetapi awak ikhlas berkawan dengan saya. Saya mula cintakan awak bila menyedari ada orang lain yang mencemburui awak, walaupun awak tidak begitu cantik ketika itu. Saat itu, saya sedar.. awak tidak cantik pada fizikalnya, tapi awak begitu cantik di dalam. Sebab itu, ramai yang mencemburui awak. Awak bijak, awak baik dan awak begitu sempurna di mata saya..”

     “Encik Syameer..”

     “No, please don’t call me Encik again. Saya suka awak panggil saya ‘awak’. Comel.”

     “Still, I don’t love you. Kenapa kita perlu..”

     “Awak tak faham atau berpura-pura tidak faham?” soal Syameer kasar. Tubuh Izati ditolak turun dari tubuhnya perlahan-lahan. Dia duduk. “Sampai mati, saya akan jadikan awak satu-satunya isteri saya. Tak ada siapa yang boleh gantikan tempat awak dalam hidup saya dan saya akan pastikan tiada siapa yang akan ambil awak sebagai isteri. Awak hak saya seorang!”

     Termangu seketika Izati mendengar pengakuan Syameer. Mata suaminya kelihatan tetap ke arahnya. Tidak berganjak.

     “Saya hanya cintakan awak seorang..” perlahan Syameer mengucapkannya sebelum melangkah keluar dari bilik.

     ‘Saya juga cintakan awak, Syameer. Tapi, saya takut..’




Tok! Tok!

     Izati berlari ke pintu bilik lalu membukanya dengan cepat. Sangkanya Syameer yang mengetuk pintu itu. “Syaa.. oh, Raudhah. Errr, cari siapa? Abang Syam tak ada.”

     “Isy akak ni. Buat apa Raudhah cari abang Syam. Ni.. abang Syam suruh bagi pada akak. Seluar tracksuit tu, abang Syam pergi beli tadi. Erm.. kenapalah akak datang malam tadi tak bawa baju ganti.”

     “Mana akak tahu kena bermalam di sini.”

     “Macam-macamlah akak ni. Erm.. tukarlah baju cepat. Akak belum sarapan lagi, kan.” Izati mengangguk-angguk laju. “Cepat sikit siap. Abang Syam tunggu akak. Dia pun tak makan lagi.”

     “Yalah mak cik kepoh!”

     Raudhah mencebik. Tidak suka digelar mak cik kepoh. Dia berlalu pergi setelah Izati menutup pintu bilik.

     “Apa yang dia beli?” Bungkusan plastic di tangannya diselongkar. Buntang matanya melihat sebungkus tuala wanita di dalamnya. Selain itu, terdapat juga baju T-shirt dan seluar sukan. Dia keluarkan semuanya keluar sebelum betul-betul terkejut dengan apa yang dilihatnya. “Baju dan seluar dalam?”

     Bertamu rasa malunya pada Syameer. Lelaki itu memang nakal.




“Saya nak balik lepas ni.”

     “Mak dan ayah awak tak balik lagi. Takkanlah nak tinggalkan mereka di sini.”

     “Saya tak ada baju kat sini. Sekurang-kurangnya, saya nak balik rumah saya. Ambil apa yang patut.”

     “Okey, lepas ni kita pergi rumah awak. Ambil apa yang patut.”

     Datin Faridah masuk ke dalam ruang makan kemudian. Dia duduk di sebelah Izati. “Mama nak minta pendapat Zati.”

     “Apa dia ma?”

     “Zati pindah duduk dengan mama ya. Mama pernah ajak Syam pindah duduk sini. Syam suruh mama tanya Zati sendiri. Katanya takut Zati rasa tak selesa tinggal di sini dengan mama. Alang-alang Zati dah ada depan mata mama, apa kata..”

     “Ya ke Syam cakap macam tu. Isy.. Zati tak tahu apa-apa pun.” Izati melirikkan matanya ke arah Syameer. Tidak suka dengan perangai Syameer. Mula-mula, beritahu semua orang yang mereka tidak lagi duduk berasingan. Sekarang, lain pula yang dia dapat tahu. “Bukan Syam nak kita tinggal asing dengan mama sebab dapat habiskan masa berdua ke?”

     Datin Faridah memandang Syameer secepatnya. “Syam..”

     “Okey, settle semuanya kat sini. Syam tak kisah tinggal dengan mama. Dari apa yang Zati cakap tadi, dia macam setuju. So, kami akan pindah masuk rumah mama nanti. Kami tinggal dengan mama. Zati tak kisah, kan?”

     “Baguslah kalau kamu berdua cadang nak duduk sini. Mak tak risau. Takut kalau kamu berdua duduk asing. Sampai bila nak berbaiknya.” Puan Ismi menyampuk tiba-tiba. Kini, dia duduk di sebelah kanan Izati.

     Izati tersepit. Dia tidak mahu mengecewakan emaknya lagi dan sudah pasti hati Datin Faridah juga hendak dijaganya. Tapi, apa yang berlaku ketika itu sangat menyesakkan dadanya. Syameer benar-benar kejam. Sampai hati dia membuat idea sebegitu rupa sehinggakan dia tidak boleh berkata tidak. Erghh..!!

     “Baguslah kalau begitu. Lepas ni, kita buat kenduri sikit. Sebelum ni, korang kahwin tak ada apa kenduri pun. Buat kenduri ni, bolehlah kenalkan Zati pada saudara mara kita. Boleh ya, Syam?”

     “Syam tak kisah, ma.” Ringkas jawapan Syameer. Dia leka memandang Izati yang tidak senang duduk. Dia nekad untuk memenjarakan Izati ke dalam hidupnya. Dia tidak mahu kehilangan gadis itu lagi. Cukup sekali dia kehilangan Izati dan pertemuan kali kedua yang terjadi membuat dia tidak mahu berhenti mahupun berpaling lagi. ‘Jangan pernah terfikir untuk lari dari aku lagi..’

     Puan Ismi tersenyum melihat Izati yang mendiamkan diri. “Kenapa Zati ni? Macam tak sihat je?”

     “Tak ada apa, mak. Sejak akhir-akhir ni, asyik sakit kepala je. Macam-macam masalah Zati kena selesaikan.” Izati lantas menendang kaki Syameer di bawah meja. Geram hidupnya diatur.

     “Masalah atau ada benda lain?”

     “Maksud mama apa ya? Zati tak faham..”

     “Zati hamil, kan?”

     Spontan Izati rasa tercekik. Makanan yang baru disuap masuk ke dalam mulut bagai tersangkut di tekaknya. Dia bangkit dan berlari ke dapur bagi meluahkan isi perutnya. Perlakuan spontan bila tekak dijoloknya bagi mengeluarkan apa yang tersekat di tekak. ‘Hamil? Gila! Aku dengan dia tak pernah.. bersama. Nak bersama dengan dia.. yuckks. Uwekkk..’

     Tidak lama kemudian, Syameer muncul di belakangnya. Lembut dia mengurut belakang badan Izati. “Awak okey ke tak ni?”

     Tangan Syameer ditepis. “No, I’m not okay!”

     “Kita ke klinik. Risau pula kalau awak tak okey.”

     “Saya hanya akan okey kalau awak jauhkan diri dari saya. It’s better for me.”

     “No, it’s not okay then. Saya suami awak, sakit perih awak.. saya perlu jaga.”

     “Dah tu, sengsaranya saya. Suka hati awak je kan. Siapa kata saya nak tinggal di sini. Awak buat keputusan tak tanya saya pun. Saya tak nak hidup dengan awak.”

     Izati membasuh mulutnya. Dia berdiri tegak.

     Segelas air kosong dihulurkan kepada Izati. “Segarkan tekak awak tu. Lepas tu, kita bertekak balik.”

     Kata-kata Syameer disambut gelak kecil dua orang pembantu rumahnya. Namun, cepat-cepat mereka menyembunyikan tawa mereka bila Izati menjeling tajam.

     “Harapan mama dan mak kita terlalu besar, Zati. Takkanlah awak tidak mahu kompromi. Mereka mahu kita bahagia. Saya.. dan awak..”

     “Masalahnya, saya tidak boleh hidup awak. Kita tak serasi.”

     “Setiap pasangan diciptakan untuk saling melengkapi, Izati.”

     “enough. Saya nak tahu, apa lagi yang awak cerita pada mama tentang kita. Selain kita tinggal sebumbung, dan kemungkinan saya sedang hamil ni.”

     “Saya tak cakap apa-apa selain duduk sebumbung. Pasal awak hamil, saya tak cakap. Maybe mereka salah sangka. Sebab awak asyik sakit kepala.”

     “Selesaikannya hari ni juga. Please! After that, send me home!”

     “Izati..”

     “Talk to my hand!”

     Syameer menjungkitkan kedua belah bahunya. Tidak mahu berbincang lagi sementelah Izati sudah menoktahkan perbincangan tersebut.


*****


Gina dan Hanani menerpa ke bilik Izati sebaik sahaja Syameer pulang. Terlalu banyak persoalan yang bermain di kepala mereka berdua ketika itu. Masing-masing mahu mengetahui hubungan antara Izati dan Syameer sebenarnya. Tambahan pula, mereka berdua seperti sedang menyimpan rahsia besar dan tidak mahu diketahui sesiapa.

     “Nak apa ni? Aku penatlah!”

     “tak boleh tidur selagi tak jawab soalan kami.”

     Matanya melirik ke arah Gina. Geram. “Apa hal pulak.”

     “Kau ke mana sebenarnya? Mana kau tidur semalam?”

     Soalan Hanani dibiarkan. Malas nak layan. Tubuhnya diiring ke kanan. Menghadap dinding.

     “Izati, cepatlah. Jangan buat kami tertanya-tanya lagi. Siapa sebenarnya Encik Syameer pada kau. Siapa pula Datin Faridah tu. Kau macam sembunyikan sesuatu dari kami berdua.”

     “Tak ada apa-apalah, Nani. Dia bos aku. Bos korang juga. Datin Faridah tu mak encik Syameer.”

     Kenyataan Izati membuatkan Gina dan Hanani semakin memburu jawapan dari Izati. “Kenapa pula mak encik Syameer nak jumpa kau?”

     “Sebab dia kenal aku.”

     “Sejak bila dia kenal kau. Kenapa kau tak pernah nak beritahu kami hal ni?” Gina bertanya lanjut. Semakin rasa pelik.

     Izati duduk. “Aku ringkaskan kisah. Lepas tu, jangan tanya aku lagi. Boleh.”

     Gina dan Hanani mengangguk.

     “Janji?”

     Spontan Gina dan Hanani mengangkat tangan kanan mereka. seperti sedang berikrar lagaknya.

     “Aku isteri encik Syameer. Datin Faridak tu mak mentua aku. Dah, puas hati. Keluar!”

     “hah? Sejak bila pulak kau..”

     “Keluar! Aku penat ni. Nanti-nantilah cerita!” kasar suara Izati. Tidak mahu menjawab sebarang pertanyaan Gina dan Hanani. Penat. Ya, dia penat. Sepanjang perjalanan pulang dia sudah terlalu penat bertekak dan berdebat dengan Syameer. Kesudahannya, dia kalah dan membawa kepada persetujuannya untuk berpindah ke Teratak Kasih.

     “Okey. Kami tuntut nanti.”

     “Yalah, yalah!” jerit Izati lantas kembali berbaring. Selimut ditarik melitupi tubuhnya. ‘Macam manalah aku nak duduk dengan dia nanti. Susahlah nak bawa diri sendiri..’




Kerusi di sebelah Gina ditarik. Dia duduk. “Pinggan.”

     “Kau kenapa ni, Zati. Nak kata tak cukup tidur, menipu besar namanya. Kau dah tidur sejak balik tadi. Sekarang dah pukul lapan malam. Dekat 12 jam kau tidur.” Hanani membebel. Dia menghulurkan pinggan kepada Izati.

     “Pening!”

     Gina menyendukkan nasi ke dalam pinggan Izati. “Pening macam mana nak beritahu kami tentang hubungan sulit kau dengan Encik Syameer?”

     “Hubungan sulit apa bendanya? Dia dah kahwin dua tahun dengan Encik Syameer lah!”

     “Maksud aku, rahsia. Tak sama ke?” Gina bertanya pelik.

     “Dah, jangan gaduh. Aku bukan tengah pening macam mana beritahu korang berdua. Aku tengah pening sebab mak dia ajak kami tinggal bersama. Tak ke gila aku kena tinggal sebumbung, tidur sekatil dengan dia setelah dua tahun terpisah!”

     “Ya Allah, okeylah tu. Aku tak tahu cerita sebenarnya. Tapi apa yang aku dapat rasakan, kau ada masalah dengan Encik Syameer sehingga kau melarikan diri dari dia. Bagi aku, cadangan mak mentua kau tu.. tepat. Sekurang-kurangnya, kau boleh jernihkan hubungan antara kau dengan Encik Syameer.”

     Gina mengangguk-angguk. setuju dengan kata-kata Hanani. “Yalah. Bagus apa.”

     “Isy, tak naklah. Aku ni.. dahlah jenis yang malas buat itu ini. Suka tidur, suka makan. Tak cukup sempurnalah untuk jadi menantu dalam rumah tu. Malulah aku. Dahlah Encik Syakeer pun tinggal di situ. Tak naklah!”

     “Itu bukan sebab utama, kan?”

     Izati diam. Dia memandang kedua orang rakannya bersilih ganti. Melihat pandangan tajam dari Gina dan hanani, dia akhirnya bercerita mengenai sejarah perkahwinannya bersama Syameer. Tidak tertinggal satu pun. “So, kau rasa aku patut tinggal dengan dia sekarang?”

     “Patut!” jawab Gina dan Hanani.

     “Alasan apa yang paling kukuh?” soal Izati.

     “Kau isteri dia. Syurga isteri terletak di bawah telapak kaki suami!”


     Jawapan yang diberikan hanani membuat Izati tidak membalas. Dia masih isteri Syameer. Masih sah. Jika dia tidak mengikut kehendak Syameer, umpama menempah tiket untuk ke neraka. Lagipun, Syameer sudah memberi laluan untuk mereka berbaik kembali. Memulakan kembali hidup bersama. Kenapa perlu dia berdalih? Kenapa perlu melarikan diri lagi?