Monday, July 22

The Little Thing part 3


still ada entry
bila penat, stress, bosan
kena menulis.
hilangkan rasa sakit kepala uruskan subjek managing
=(

enjoy! 
ringkas je
******

Keesokkannya, Izati terpaksa menghadap Syameer di awal pagi sebaik sahaja masuk kerja. Gina dan Hanani memaksanya untuk berjumpa dengan Syameer. “Bila encik nak pindah?” soal Izati.

     “Sekejap awak, sekejap encik. Tak boleh tetap pendirian ke?”

     “Suka hatilah. Hisy..”

     “Esok.”

     “Esok? Cepatnya. Saya masih ada banyak benda nak dikemaskan.”

     “Bawa sikit-sikit dahlah. Yang tak penting tinggalkan jelah.”

     Izati diam. Kepala yang tidak gatal digaru berkali-kali. Ada sesuatu yang mahu ditanyakan kepada Syameer sebenarnya. “Gina dan Nani dah tahu pasal kita. Saya beritahu mereka semalam.”

     “Hmm..”

     ‘Itu je.’ Izati merengus. “Saya nak sambung kerja. Ada apa-apa lagi ke?”

     “Mulai bulan depan, awak tidak lagi kerja di sini. Awak dan saya, akan kerja di syarikat induk.”

     “Hah! Kenapa pula? Tapi.. saya..”

     “Sebab pertama, kerja di sini tak sesuai dengan saya walaupun saya dah kerja di sini hampir satu tahun lamanya. Kedua, saya ada jawatan lain di syarikat induk iaitu Pengarah Urusan Syarikat. Ketiga, dari dulu sehingga sekarang jawatan setiausaha saya masih belum diisi sebab calon setiausahanya melarikan diri. Keempat dan terakhir sekali, saya suami. Ke mana sahaja saya pergi, awak kena ikut. Simple!”

     “Tak nak! Saya nak stay di sini. Walau apa yang terjadi, saya tetap dengan keputusan saya. Saya akan tinggal dengan Gina dan Nani. Titik!”

     Lekas Izati bangun. Tidak mahu berbincang apa-apa lagi dengan Syameer. Nampak jelas lelaki itu telah merancang segalanya dengan begitu rapi. Sudahlah dia terpaksa berpisah rumah dengan dua orang rakan baiknya, kini terpaksa pula dia berpisah tempat kerja. Tidak mungkin akan berlaku.

     Syameer mengejar langkah Izati. Tidak membenarkan isterinya keluar dari pejabatnya. “Kenapa awak nak burukkan lagi keadaan? Kita mulakan hidup baru. Saya dan awak. Cuba fikir tentang kita. Kita suami isteri yang sah dan perlu bekerjasama dalam melayari rumah tangga. Saya ketua keluarga ini, dan awak sebagai isteri saya, ikutlah saya. Saya merayu pada awak. Saya tidak kisah awak tidak suka saya mahupun membenci saya, tapi tolonglah ikut saya. Saya tak nak berpisah dengan awak lagi..”

     “Ceraikan saya. Kemudian cari pengganti saya dalam hidup awak.”

     “Kenapa? Awak pernah cintakan saya, Izati. Kenapa tidak sekarang. Apa yang telah membutakan hati awak.”

     “Sebab pertama, awak telah merendahkan maruah saya sebagai seorang perempuan suatu ketika dahulu. Kedua, awak tidak pernah cuba untuk mendapatkan saya kembali sebagai seorang isteri walaupun kita dah bekerja sebumbung hampir satu tahun lamanya. Ketiga, saya paling benci lelaki yang mengatur hidup saya. Keempat dan terkakhir sekali, cinta itu masih ada. tapi saya turut membenci awak..”

     Pintu bilik dibuka lantas Izati melangkah keluar meninggalkan Syameer. Dia malas mahu mengikut arahan Syameer lagi. Dia bukan orang suruhannya!

     Syameer duduk di atas sofa. Terdiam dirinya sejenak memikirkan kata-kata Izati.



*****



Dua tahun lalu..

“Syam akan kahwin dengan perempuan gemuk ni. Bukan sebab Syam teringin mahu berkahwin. Tapi sebab terpaksa. Siapa yang sudi berkahwin dengan perempuan yang langsung tidak cantik dipandang. Sudahlah gemuk, tidak cantik pula. Harap je otak cerdik!” tengking Syameer di tengah-tengah ruang tamu Teratak Kasih. Wajahnya kelihatan bengis dan dipaparkan pula riak jijiknya sewaktu memandang Izati.

     “Saya tak paksa awak kahwin dengan saya. Saya hanya bertanya. Bagaimana benda ni semua boleh terjadi. Awak yang sedar terlebih dahulu. Itu sahaja.”

     “Arggh, peduli apa aku. Entah-entah kau yang rancang semua ini. Mentang-mentang aku sudi jumpa kau malam tu. Kan?”

     “Ya, memang aku sudi jumpa kau. Tapi itu tak bermakna aku yang rancang semuanya. Mungkin juga kau yang rancangkannya. Beria-ia mahu jumpa aku. Tak begitu?”

     Datin Faridah bangkit dari duduknya. “Sudah, sudah. Jangan gaduh lagi. Mama tak suka. Apa pun yang terjadi sekarangnya, mama nak kamu berdua kahwin. Syam kena bertanggungjawab. Izati kena terima sebab maruah kamu dah tercalar disebabkan kes ini.”

“Ma?”

“Tak, saya tidak akan kahwin dengan dia.”

Beg sandang diambil. Dia mahu melangkah keluar dari rumah besar itu. Makin lama dia berada di situ, makin sesak nafasnya. Lelaki itu sudah senang-senang memijak maruahnya. Buat apa dia menunggu lagi. Supaya maruahnya semakin rendah. Dia juga mempunyai ego.

“Izati, awak tidak boleh keluar selagi Syam tidak bergelar suami awak.”

Langkahnya terhenti. Dia menggeleng perlahan.

“Saya tidak perlu berkahwin dengan lelaki yang hanya pandai menghina orang lain kerana paras rupa. Saya ada maruah.. saya..”

“Izati.. jangan terburu-buru. Maruah awak, akan terjaga bila awak berkahwin dengan Syam. Ayah dan emak awak tentu bersetuju dengan apa yang saya katakan ini.”

Tersentak Izati mendengarnya. “Mereka dah tahu?”

“Mereka dalam perjalanan ke sini..”

Dia terdiam. tidak tahu mahu kata apa. Pastinya, dia sudah terperangkap. Mahu atau tidak, dia akan berkahwin dengan Syameer. Ya, dia tidak akan dapat lari dari kenyataan itu. Sekilas dia memandang Syameer yang sudah berdiam diri. Tenang wajahnya di sisi kakaknya. Sedang dia asyik memandang Syameer, lelaki itu tiba-tiba mendongak dan memandang ke arahnya. Pandangannya tidak lagi penuh dengan kebencian. Malah penuh dengan rasa cinta..

‘Arhh, mengarut. Dia cintakan aku? Aku hanyalah perempuan gemuk yang tidak cantik.’





Majlis akad diadakan serba ringkas seminggu kemudian. Hanya saudara rapat yang dijemput di dalam majlis tersebut. Sepanjang majlis tersebut, Izati hanya mendiamkan diri. Tidak berkata apa-apa dan hanya mengangguk serta menggelengkan kepalanya. Sudah pasti, dia seperti tidak merelakan segalanya berlaku.

     Setelah majlis pernikahan berlangsung, kedua orang tua Izati berangkat pulang ke kampong. Meninggalkannya di Teratak Kasih sebagai seorang menantu dan juga seorang isteri. Sungguh dia tidak rela.

     “Izati..”

     “Datin..”

     “Kamu dah jadi menantu mama, panggillah mama. Kamu ni, Datin je..”

     Izati senyum. Selesa berduaan dengan Datin Faridah yang memahami.

     “Pergilah masuk bilik. Jangan macam ni. Mama harap, kamu sabar dengan kerenah Syam. Dia memang macam tu. Tak pernah marah. Tapi bila sekali dah naik angin, memang macam tu jadinya. Jangan takut ya.”

     “Yalah..” Izati bangun dan terus meninggalkan Datin Faridah di ruang tamu. Dia menguatkan hatinya untuk membuat satu keputusan. Dia sudah merancangnya sejak awal pagi itu. ‘Aku akan pergi dari sini. Aku perlu pergi..’





Syameer berlari laju meniti satu persatu anak-anak tangga ke tingkat bawah. Sekeping nota yang ditinggalkan Izati dibawa sekali. Hatinya berdegup kencang dan sangat tidak mempercayai dengan apa yang berlaku. “Ma, ma..” Berkali-kali dia memarahi diri sendiri kerana mengamuk tidak tentu pasal malam sebelumnya. “Ma..”

      “Kenapa ni, Syam?”

      “Izati.. dia dah pergi. Dia tinggalkan nota. Dia, dia..”

      Datin Faridah hanya mampu menghelakan nafas. Tidak terfikir sama sekali Izati akan meninggalkan rumah lewat malam sebelumnya. “Biarlah dia pergi. Dia perlukan waktu untuk berfikir dan menenangkan dirinya. Sampai satu saatnya, tentu dia akan kembali ke sini..”

     “Mama cakap senanglah. Izati tu isteri Syam. Kalau apa-apa terjadi, macam mana?”

     “Kalau begitu, kenapa perlu sakitkan hati dia lagi semalam. Perlu ke ungkit pasal bentuk fizikalnya lagi?”

      “Ma, mana Syam perlu cari dia. Syam tak boleh kehilangan dia. Dia segala-galanya, ma.” Syameer memegang kedua belah kepalanya. Runsing sekali dirinya ketika itu. Pelbagai andaian bermain di mindanya.


      Bayangan Izati semakin lama semakin menjauh. Sepertinya dia tidak akan pernah lagi bertemu dengan gadis itu. Meski Izati sudah menjadi isterinya, segala rasa takutnya berpanjangan. Mainan perasaan sering menggangunya. Mengatakan bahawa Izati akan terus pergi dari hidupnya. Dia takut.