Friday, April 25

Ada Aku Untukmu 3

3
Jarum jam telah melewati angka 9 pagi. Matahari mulai meninggi dan melimpahkan cahayanya yang terang dan terik. Pada waktu ini, aku telah siap menyediakan sarapan untuk Qhalif, membasuh dan menjemur pakaian serta telah selesai membantu Puan Zaharah di kebunnya. Aku menjengahkan kepala ke ruang tamu. Kosong. Tiada sesiapa di ruang tamu. Tuan Razali pasti keluar bertemu rakan niaganya. Puan Zaharah mungkin keluar berpersatuan atau keluar ke pasar bersama Mak Biah.
  
   Kereta Qhalif masih ada di bawah garaj. Tidak berganjak sejak empat hari yang lepas. Tiada siapa yang mahu memandunya. Aku ketap bibir. Mungkinkah Qhalif masih ada di dalam biliknya? Tidur barangkali.

     Aku naik ke tingkat tiga dan terus menuju ke bilik tidur Qhalif.

     Tok! Tok!

     “Selamat pagi, encik. Dah bangun ke belum?” Aku meninggikan suara. Seboleh mungkin mahu dia mendengar dengan jelas suara aku yang berada di luar. Pintu diketuk lagi. “Encik..”

     “Ya!” sahut Qhalif kuat dengan suaranya yang sentiasa kasar.

     “Cuti lagi ke?” Takkanlah kaki dia sakit lagi. Ish, ini tak boleh jadi. Rasanya aku dah urut sebaik mungkin kakinya sepertimana arwah ibu pernah ajar. “Saya masuk dalam ya?”

     “Jangan!”

     Kuat jeritan Qhalif membuatkan aku terkejut. Mujur juga aku tidak masuk ke dalam bilik lagi. Hah.. dah bangun rupanya. Takut agaknya kalau aku mengulangi peristiwa bersejarah dia disiram air sejuk semasa tidur. Dek terlalu geram dengan Qhalif yang terlalu susah bangun dari tidur, memaksa aku menyiramnya dengan air sejuk sampai dirinya menggigil kesejukkan.  

    “Encik, kalau dah bangun turunlah sarapan. Saya nak siapkan pakaian encik ni. Saya masuk dalam ya?”

“Nanti dulu! Aku kata jangan, janganlah!” balas Qhalif kuat.

 Gila! Apa yang dia terjerit-jerit dalam bilik. Aku bersandar pada daun pintu sementara menanti Qhalif. Kedengaran suaranya yang mengomel itu ini tanpa diketahui butirannya. Entah apa sahaja yang dilakukan sehingga begitu lambat membuka pintu bilik.

     Dumm!!

     Apa tu? Err.. dia terjatuh ke? Err.. macam  mana ni. Nak masuk ke tak? Kasihan lah pulak kalau tak tolong. Erm.. masuk je lah!

     “Siapa suruh kau masuk?” Bersama dengan jeritan Qhalif, aku menutup kedua belah mataku. Patutlah dia marah aku  masuk tadi. Tak berbaju berseluar rupanya. Dia hanya bertuala. Aduh, apa yang aku buat ni. Malunya aku.

     “Manalah saya tahu yang encik seksi macam ni. Saya dengar bunyi orang jatuh. Saya masuk sebab nak tolong je. Encik baru lepas elok sakit kaki,” ujarku. Aku membuka sedikit mata Melihat sama ada dia masih terlentang di atas lantai atau tidak. “Err.. encik mahu saya bantu encik bangun ke?”

     Qhalif mengeluh panjang. Dia memalingkan tubuhnya sedikit. “Campakkan aku selimut. Nak tutup badan aku yang terdedah dari kau,” pintanya.

     ‘Macam manalah aku tak sedar yang masuk bilik air tak bawa seluar dan baju. Kacau betul. Perempuan ni pun satu, main ketuk pintu je. Kan dah terdedah semuanya. Malukan aku je minah ni. Teruk betul!’

     Setelah selimut aku campakkan, dia segera menutup tubuhnya yang terdedah. “Nak saya papah?”

     “Tak perlu. Kau ambilkan aku seluar dan baju pun dah cukup?”

     “Tu je? Seluar dalam tak nak?” Aku menyoal tanpa sedar. “Err.. bukan macam tu. Maksud saya.. err.. tak apalah. Nanti encik ambil sendiri. Saya.. saya keluar dulu..” Gerakku laju mengambil seluar sukan dan sehelai baju T di dalam almari pakaian. Aku mencampakkan seluar dan baju kepada Qhalif yang duduk di birai katil. Aku malu benar ketika itu. Segalanya tida munasabah dan gila.

      Aulia.. Aulia.. apa yang kau buat ni?



“Mana sarapan aku?”

     Aku menoleh ke belakang. Qhalif berdiri tidak jauh dari aku. Kelihatan Qhalif membuka tudung saji yang tiada isinya. Sengaja aku memandangnya dek kerana mahu melihat dia berjalan. “Dah boleh jalan elok?”

      “Sikit. Sarapan?”

      “Saya sedang panaskan balik sup cendawan. Tunggu sekejap. Boleh?”

      Qhalif mengangguk. “Kopi O.”

      “Kalau encik tak sihat kenapa tak minta saya hantar sarapan ke bilik saja. Susah  bukan encik nak turun tangga. Macam mana kalau encik tersilap langkah tadi. Terjatuh ke apa? Melarat pula kaki encik,” bebelku penuh kerisauan dan pada masa yang sama aku sudah siap menghidangkan sarapan pagi Qhalif.

     “Aku tak nak susahkan kau. Lagipun aku tak nak kau ter‘kebetulan’ lagi melihat apa yang sepatutnya kau tak perlu lihat,” getusnya sedikit kasar. “Lain kali aku cakap jangan, kau jangan buat.”

     “Yalah. Saya faham. Saya tak sengaja. Risau!”

     Memang kerek mamat ni kan. Suka cari salah orang lain. Pelik betul aku dengan sikap sentiasa betul dia tu. Tapi, untung juga bukan. Aku secara kebetulan dapat lihat apa yang sepatutnya aku tidak perlu lihat. Hehe..

     Bukk!

     Terpempan sejenak aku dengan tindakannya yang menepuk meja. Wajahnya aku pandang kosong. “Lupakan apa yang kau  nampak tadi. Siap kalau ada yang tahu,” pesannya.

     Aku tersenyum lantas mengangguk. Setelah itu aku menghidangkannya sup cendawan bersama beberapa keping roti.



Pintu bilik dikuak lebar memaksa aku mengalihkan pandangan ke arah pintu. Aku senyum menyapa Mak Biah yang melangkah masuk. Aku kembali menumpukan perhatian pada skrin televisyen yang sedang menayangkan drama kesukaan aku.

     “Asyiknya Mak biah tengok kamu nonton drama Korea ni. Faham ke cakapnya apa?”

     “Ermm.. sikit-sikit saya fahamlah. Kenapa? Mak Biah nak saya ajarkan bahasa Korea. Boleh juga,” ujarku bergurau. Mak Biah menggeleng pantas menolak cadangan mengarut aku itu. “Eleh.. dalam hati Mak Biah nak belajar kan?”

      “Kamu baca hati Mak Biah ke tadi?”

     Aku menggeleng. “Tak faham pun. Bahasa Jawa je dalam hati Mak Biah tu. Ingat kat Pak Mat sebelah rumah tu ke?” usikku lagi. Membulat mata Mak Biah memandang aku.

     “Ke situ pulanya. Ada-ada saja kamu nilah. Erm.. Qhalif hari ni macam mana? Okey ke tidak kakinya tu? Semalam kamu urut dia, ada elok ke kaki dia?”

     “Okey je dia. Tak ada apa-apa masalah pun. Tadi dia turun makan sarapan di bawah.”

     Mak Biah membuntangkan mata. Tidak percaya dengan kataku. “Dah eloklah kiranya tu. Hah, dia ke mana? Tak nampak pun? Kereta dia pun tak ada kat depan.”

     “Dia pergi kerjalah.”

     Mak Biah tercengang. ‘Biar betul. Selalunya, selagi tidak betul-betul sihat, jangan harap dia nak bergerak lebih-lebih. Peliknya!’



Qhalif menyimpulkan senyuman selebarnya. Aneh dengan perasaannya sendiri. Sejak akhir-akhir ini selalu pula dia mencari pasal dengan Aulia. Entah apa yang sering merasuk kepalanya. Suka benar dia melihat pipi gadis itu yang merona merah akibat dimarahi mahupun kerana malu. Comel dan semulajadi wajahnya. Semalam sahaja dia melihat pipi gadis itu merona merah dalam kejadian yang tidak disangka-sangkakan. Melihatkan  itu sukar untuk dia memarahi gadis itu. Dirinya pula yang dimarahi. Memang salahnya juga.

     “Wah.. wah.. senyum besar nampaknya kawan aku hari ni? Apa kes? Ada durian runtuh ke kawan?” sergah Zafrul. Dia tersengih apabila melihat Qhalif tersentak. Terus dia mengambil tempat duduk tidak jauh dari tempat Qhalif. “Erm.. semalam aku call, suara macam orang sakit tenat je. Sekarang aku tengok macam dah ada nyawa baru.  Kaki kau dah okey ke?”

     “Dah.. tersangatlah okey. Kalau kau nak suruh aku pergi main bola sepak sekarang pun boleh. Nak ikut ke?”

     “Amboi. Best bunyinya tu? Erm. boleh aku tahu hospital mana kau pergi. Nak juga aku try” tanya Zafrul ingin tahu.

     Qhalif mengerutkan dahi. “ Kau sakit apa? Kenapa nak berurut pula?”

     “Buat-buat sakit. Teringin juga kena urut..”

     “Aku tak pergi hospital pun. Kat rumah je. PA aku yang urut. Entah apa kena dengan angin dia malam tadi. Elok je dia masuk dalam bilik aku nak urut kaki. Tak sampai beberapa minit dia mengurut, terus aje aku boleh berjalan lancar..” jelas Qhalif. Dia memandang Zafrul yang sepertinya merasa kagum dengan penjelasannya.

     “Pandai Damien mengurut.” Zafrul langsung memuji Damien. Dia hanya mengenali Damien yang bergelar pembantu peribadi Qhalif di pejabat dan tidak pernah tahu akan kewujudan Fitri Aulia.

     “Bukan Damien. PA aku lagi satu. Aulia namanya. Fitri Aulia!”

     “PA kau lagi satu? Orang baru? Atau dua PA?” Qhalif mengangkat dua jarinya. “Mama Ara punya kerjalah ni, kan?”

     Qhalif mengiyakan sahaja. Zafrul sendiri mengenali siapa mamanya. Tidak perlu bercerita lebih panjang.

     “Percaya atau tidak, aku tak boleh nak pecat dia. Sebab mama kata, kali ini hanya dia yang boleh pecat pekerja. Bukan aku. Lagipun kali ini minah tu mama aku yang bagi gaji. Bukan aku..”

     “Cun tak?”

     “Seribu kali cun dari awek kau.”

     Zafrul menarik wajahnya. Memang agak sukar diterima kalau ada yang mengatakan kekasihnya yang berstatuskan model dan pelakon itu kurang cantik dari seseorang. Memang agak sukar untuknya terima.

     Qhalif ketawa melihat wajah sugul Zafrul. “Erm.. ada apa? Selalunya ada hal mustahak baru datang ke sini? Kembar kau mana?”

     “Qhafi?” Qhalif mengangguk. “Dia ada pembedahan pagi ni. Petang nanti pula dia ada date dengan pesakit dia”

     “Date? Siapa yang nak date dengan dia tu?”

     “Maksud aku, temu janji dengan pesakit dia. Di hospital, medical check up!”

     “Ooh..”



Bayangan wajah  Aulia bagaikan menggamit perasaan Qhalif. Tambahan pula seharian itu dia asyik terbayangkan wajah Aulia muncul di skrin komputernya. Sesekali Aulia hadir di sebalik kelopak matanya yang tertutup. Dia bagaikan diekori bayangan Aulia sepanjang hari. Entah mengapa dia merasa sedikit terharu dengan layanan Aulia. Walaupun agak kasar dia melayan Aulia, namun dia mengakui cukup suka. Suka mendengar omelan gadis itu. Dia juga suka dengan segala sikap Aulia yang tidak seperti pembantu peribadinya yang terdahulu.

     ‘Aku suka dia ke?’ soalnya kepada dirinya sendiri. ‘Tak mungkin kan? Qhalif Qadri tidak mungkin akan jatuh cinta pada pandangan pertama. Aku juga tidak akan pernah mungkin mencintai seorang gadis yang suka menyakitkan hati seperti Fitri Aulia. Tapi, ini kali pertama aku merasakan sebegitu. Dia gadis pertama yang membuatkan hati aku berdegup kencang. Hanya dia yang sering membuatkan aku rasa.. rasa.. seperti.. cinta?’ Qhalif menutup kelopak matanya dan cuba memikirkan peristiwa malam sebelumnya di biliknya. Malamnya terganggu dengan kehadiran Aulia di biliknya.

     “Encik.. saya urutkan kaki encik ya,” pinta Aulia dengan lemah lembut. Aulia terus duduk di hujung kaki Qhalif. Bersahaja dia meletakkan kaki lelaki itu di atas pangkuannya.

     “Tak payah. Esok aku nak jumpa doktor. Lepas tu eloklah kot..” Kakinya yang diletakkan di atas pangkuan Aulia ditarik balik. “Lagipun aku  takut kau apa-apakan kaki aku ni..”

     “Saya ni baik-baik nak urutkan kaki encik. Sampai hati kata saya macam tu. Saya ikhlas lah nak urut.. lagipun arwah  ibu saya pernah cakap. Kalau kita urut dengan ikhlas walaupun sakitnya yang teramat sangat, Insya-Allah hilang. Jadi saya dengan rasa ikhlasnya nak tolong urut kaki encik ni tau.”

     Keheningan mata Aulia yang kelihatan betul-betul ikhlas membuatkan Qhalif menghulurkan kakinya kembali. “Minyak angin ada kat dalam laci tu..” ujarnya. “Urut kaki saya dengan penuh lemah lembut. Jangan main kasar dengan saya. Kalau tidak aku tendang je muka kau nanti.”

     “Tendanglah. Encik dapat dosa. Saya dapat pahala..” sambut Aulia nakal. Sengaja dia ketawa lepas di hadapan lelaki itu. “Erm.. encik ni memang pelik. Sekejap ber’aku’ ‘kau’ dengan saya. Kadang-kadang ber’saya’ ber’awak pula. Mana satu karakter encik ni..” soal Aulia. Dia masih mencari-cari botol minyak angin di dalam sebuah laci yang ditunjukkan Qhalif sebentar tadi. “Siapalah yang sanggup bercintan cintun dengan encik ni kan?” Dia duduk berhadapan dengan Qhalif. Aulia mula mengurut kakinya.

     Qhalif memandang Aulia dengan pandangan tajam. Turun naik dadanya menahan amarah. Semakin sakit hatinya melihat Aulia yang menahan gelak. “Apa masalah kau kalau tak ada orang yang nak aku?”

     “Yalah, muka hensem tapi tak laku. Confirm semua orang fikir encik ni gay.”

     Sungguh berbisa ayat yang dilontarkan Aulia kepadanya. Begitu tajam. “Jangan sibuk. Buat aje kerja kau. Ataupun aku pecat kau..”

     Sengaja Aulia tersenyum-senyum dihadapan Qhalif. “Encik lupa apa yang Puan cakapkan? Kali ini hanya mama yang berhak tentukan selama mana PA kamu bertahan. No objection!” bersahaja Aulia meniru percakapan Puan Zaharah.

      Kaki yang enak diurut oleh Aulia ditarik balik. “Saya nak rehat. Awak boleh keluar.”

      “Encik rehat je lah. Saya tak kacau pun. Lepas urut ni saya confirm yang encik kalau jalan tak senget sebelah lagi. Macho je..”

     “Apa-apalah..” desisnya seraya membetulkan tempat duduknya yang semakin menurun. “Saya nak tanya awak. Apa kes baik sangat ni? Ikhlas tiba-tiba je. Pagi tadi bukan main awak yang menyakat saya berjalan  macam  itulah.. inilah. Sekarang duduk kat sini mengurut kaki saya..”

     “Encik nak tahu ke?” Qhalif mengangguk kencang. “Kalau saya cakap encik jangan marah, ya?”

     “Janji. Cakaplah kenapa?”

     “Saya bosan  tengok  muka encik kat  rumah. Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis cuti. Kalau esok tak okey juga, encik masih cuti. Belum campur dua hari cuti, esok dan lusanya. Aduhai, bosanlah. Macam bangkai bernyawa saya tengok kat dalam rumah ni..” jawab Aulia dengan tawa yang tidak dapat nak ditahan. “Saya takut kalau encik cuti lagi esok..” sambungnya dengan sisa tawa berpanjangan.

     “Haha.. lawaknya. Sudah.. saya dah sihat walafiat. Kau dah boleh keluar.”

     Kakinya ditarik balik. Dia menghalau Aulia dengan menolak tubuh gadis itu menuruni katilnya dengan bantal peluk. Sakit hatinya apabila gadis itu ketawa lagi. Lebih kuat.









Monday, April 21

Ada Aku Untukmu 2

2
Hari Ahad. Hari yang paling aku tunggu-tunggukan sebab Puan Zaharah kata, aku bebas untuk melakukan apa sahaja aktiviti di dalam dan di luar rumah. Mahu tergolek terlentang, tidur 24 jam, dapat dilakukan dengan tenang dan damai. Aku bebas dari segala kekusutan yang dibuat oleh Qhalid. Sungguh aku gembira. Dapat berbaring di atas katil tanpa gangguan. Golek ke kiri dan ke kanan semahunya tanpa halangan.
   
  Mata aku pejamkan. Aku mahu menyambung tidurku. Seboleh yang mungkin, aku mahu rehat sepuasnya sebelum kembali dikerah dengan pelbagai bentuk arahan dari Qhalif. Argh, benci betul!

     Telefon bimbit berdering lantang mengganggu apa yang telah aku rancangkan. Cept-cepat aku mencaai telefon bimbit. Sebaris nama terpapar di skrin. “Imran Hadi oh Imran Hadi!”

     “Lia, tolonglah.. Im nak jumpa Lia. Sekali ini je. Tolonglah.. jangan hampakan Im.”

     “Untuk apa Encik Imran nak jumpa saya. Kita dah tak ada kaitan antara satu sama lain.”

     “Awak kena faham, Lia. Saya perlukan awak, saya cintakan awak. Bila awak menjauhi dari hidup saya, hati saya tak tenang. Beri saya tengok wajah awak. Biar saya tahu awak dalam keadaan baik-baik sahaja. Tolonglah, Lia..”

     Aku mendegus kasar. Tidak suka mendengar rayuannya. Tidak munasabah. “Sudahlah Encik Imran. Saya tak nak ganggu hidup encik lagi. Nanti apa kata Datin Julia lagi? Cukuplah sekali saya dituduh yang bukan-bukan..”

     “Lia, saya janji. Lepas kita berjumpa kali ni, saya tak akan ganggu hidup awak lagi. Saya janji..”

     “Janji manusia sering dimungkiri, encik. Sudahlah.. saya..”

     “Sayang, apa khabar denganmu..”

     Telefon bimbit tercampak ke tepi. Aku pantas berpaling ke belakang. Terkejut aku melihat Qhalif yang sedang berdiri di luar.

     Aku memandangnya dengan geram seraya mencapai kembali telefon bimbit. Talian bersama Imran masih belum terputus. “Hello..”
   
  “Sayang, buatkan I air..”

     “Siapa tu?” Suara Imran kedengaran curiga.

     Wajah Qhalif begitu selamba. Aku terus mematikan talian. “Encik nak apa?”

     “Buat air lemon untuk aku!” arahnya. Dia tersengih nakal.

     “Air lemon, air lemon.. tak ada air lain ke encik nak suruh saya buat. Mak Biah kan ada!”

     “Mama upah kau untuk jadi pembantu aku. Bukannya Mak Biah!”

     “Hari Ahad, saya cuti. Faham!”

     Dahi Qhalif berkerut. Kepalanya dipalingkan ke sebelah kanan. “Ma, dia cuti hari ini?”

     “Ya, Qhal!” Kedengaran suara Puan Zaharah menyahut.

     “But why?” soal Qhalif lantas beredar pergi dari situ. Cepat-cepat aku menutup tingkap.

     Telefon bimbit aku ambil lalu disembunyikan di bawah tilam. Aku turun dari katil dan terus masuk ke dalam bilik air. Lebih baik aku mandi dan bersiap-siap sebelum Qhalif datang menerjah lagi. Nahas!



Pintu diketuk bertalu-talu dari luar. Kedengaran suara dengusan Qhalif menanti aku membukakan pintu. Kebiasannya, dia akan masuk sahaja ke dalam bilik tanpa keizinan aku. Namun, segalanya berubah bila Tuan Razali pulang dari luar negara dua hari yang lepas. Tuan Razali telah menegurnya dan menasihati Qhalif untuk menghormati hak peribadi aku dan Mak Biah di mana bilik itu satu-satunya tempat untuk kami mencari privasi.

     Pintu dikuak sedikit. Aku tersengih melihat kepalanya yang separuh masuk ke dalam. “Nak apa?”

     “Air lemon aku mana?”

     “Nanti saya buatlah!”

     Qhalif tersenyum. “Kau cakap cuti?”

     “Encik faham bahasa Melayu rupanya. Ingat tak faham. Kalau dah tahu saya cuti, kenapa tergedik-gedik suruh saya buat air lemon tu?”

     “Nak buat ke tidak?” kalih Qhalif.

     “Saya buat.”

     “Kenapa?”

     “Yalah, bila tak buat ketuk pintu macam nak robohkan je. Orang dalam bilik yang teraniaya. Nasib baik Mak Biah tak ada. Kasihan dia kalau terpaksa dengar pintu kena ketuk.”

     “Bebel macam mak nenek kau. Cepat sikit. Aku tunggu kat atas. Dalam bilik.”

     “Ya!”

     Pintu ditutup rapat. Aku menggaru kepala. Geram dengan Qhalif yang sememangnya suka menyusahkan aku. Perlu ke dia tunggu dalam bilik? Tak bolehkah dia minum di dapur sahaja? Arghh..



Aku senyum senang hati. Qhalif sudah keluar selepas aku menyediakan segelas air lemon kegemarannya. Katanya mahu keluar bersenam bersama rakan-rakannya dan akan balik pada waktu petang. Dengan itu, aku dapat bersenang lenang sehingga kepulangannya nanti. Cukup untuk aku merelakskan fikiran yang terggangg dengan kerenah Qhalif. Cukup menyusahkan. Air lemon! Air lemon! Itu sahaja arahannya.

     Senaskhah surat khabar di bawah meja aku tarik keluar. Ketiadaan Tuan Razali dan Puan Zaharah juga melegakan aku. Sememangnya, aku tidak berapa selesa dengan kehadiran Tuan Razali. Mungkin aku masih belum mengenalinya dengan lebih rapat. Keramahannya juga membuatkan aku takut jika wujudnya salah faham pada pandangan Puan Zaharah.

     Tidak berapa lama kemudian, kehadiran seseorang di sebelah memaksa aku untuk berpaling. Kalut aku menyusun kembali surat khabar dan berdiri.

     “Kamu kenapa, Lia?” soal Puan Zaharah dengan dahi yang berkerut. Kelihatan dia sedikit terkejut.

     Aku hanya tersenyum melindungi rasa resah di dalam hati. Begitu resah kerana takut akan tanggapan Puan Zaharah. Kepala ditundukkan ke bawah menekur lantai. Malu. Memang aku bercuti pada hari ini. Tapi, itu bukan lesen untuk aku bersenang lenang di dalam rumah. Ini bukan rumah aku. Aku hanya menumpang selain mencari rezeki yang halal.

     Perlahan-lahan aku mendongakkan kepala bila mendengar derap langkah seseorang. Tuan Razali senyum kecil sebelum melabuhkan punggungnya di sebelah Puan Zaharah. “Kenapa?” soalnya perlahan.

     “Lia ni abang. Saya tengok dia asyik sangat baca surat khabat sampai tak sedar saya datang. Saya duduk sebelah dia. Alih-alih dia kalut terus kemas surat khabar dan terpacak macam patung. Pelik saya..” ujar Puan Zaharah lantas tergelak kecil. Lembut dia menepuk paha suaminya.

     Gelak Puan Zaharah disambut Tuan Razali dengan gelengan kepala. Dia memandang aku dengan senyuman. “Kamu ni Aulia. Macam-macam. Sejak saya tiba hari Jumaat lepas, ada je benda yang awak buat untuk saya gelak.”

     “Hah?” Aku terlopong. Malu.

     “Jangan risaulah, Lia. Tak adanya isteri saya nak mengamuk kalau awak duduk baca surat khabar di sini. Dia makan nasi, bukan makan orang.” Tuan Razali berlelucon.

      “Err.. tak apalah. Saya dah sudah pun baca. Saya ke dapur dululah. Tolong Mak Biah apa yang patut. Err.. minta diri dulu..”

     Laju aku meninggalkan ruang tamu dan terus ke dapur. Terngiang-ngiang di cuping telinga aku akan suara gelak Tuan Razali dan Puan Zaharah. Aku gigit bibir. Betapa malunya aku kalau Qhalif turut berada di situ. Pasti aku digelakkan sehabis mungkin. Grrr..
     Suara Tuan Razali dan Puan Zaharah yang menggelakkan aku menggamit rasa ingin tahu Mak Biah. “Kamu buat lawak apa kat depan tadi, Lia?”
     Aku memeluk tubuh Mak Biah dari belakang. “Malunya saya, Mak Biah. Malu sangat-sangat. Nasib baik tak kena marah dengan Tuan dan Puan. Kalau tidak, mahunya kena buang kerja.”
     “Malu? Marah? Buang kerja? Kamu cakap apa ni?” Mak Biah memusingkan tubuhnya menghadap aku. “Ceritalah pada Mak Biah.”
     “Saya baca surat khabar kat depan tadi. Saya duduk kat atas sofa. Kemudian puan duduk sebelah saya. Lepas tu..”
     “Kamu takut buat apa? Puan takkan marah. Dia tidak kisah pun.” ujar Mak Biah. Dia ketawa kecil.
     “Pelik betul saya. Tak pernah saya jumpa orang kaya macam puan dan tuan tu. Dulu masa saya kerja dengan Datin Julia setiap hari tahu tak kena herdik. Walaupun dah lama duduk serumah dengan Datin Julia, setiap hari ada sahaja yang tidak kena dengan kerja saya. Sampai sakit telinga ni dengar suara ‘merdu’ dia tu.”
    “Datin Julia lain, puan lain. Jangan samakan mereka. Puan tak pernah layan pekerjanya macam  kuli tau. Semua sama rata.  Yang muda dianggap seperti anak. Yang tua dianggap seperti saudara. Itu konsep yang tuan dan puan tekankan dalam bekerja. Yang tak reti pakai konsep tu seorang je..”
     Aku simpul senyum. Aku seperti dapat mengagak  siapa yang dimaksudkan oleh Mak Biah itu. “Tak lain tak bukan, Encik Qhalif Qadri kan? Bos saya yang suka mengarah itu, kan?”    
     Mak Biah senyum dan menjungkitkan bahu.
Betullah tu jawapan aku. Kalau tidak, tentu reaksi Mak Biah lain.
Nasib badan aku betul. Gaji dah elok lumayan. Kerja tidak seberapa. Tapi, nak melayan kerenah Qhalif, masya-Allah! Umpama melayan seorang bayi yang sepanjang masa mahu disuakan botol susu. Pening!

Qhalif ketawa terbahak-bahak mendengar jenaka Zafrul dan Qhafi. Dia melajukan lariannya meninggalkan Zafrul yang cuba mengejar dek balasan nakal untuk jenakanya. Qhafi turut mengejarnya dari belakang bila sedar Qhalif turut mengenakannya. Terjerit-jerit mereka bertiga tanpa menghiraukan pengunjung taman yang ramai di waktu pagi.
      Dbuk!
     “Ouchhh” jerit Qhalif sebaik cuba bangkit dari jatuhnya.
     Zafrul dan Qhafi berhenti. Mereka terus mendapatkan Qhalif yang tidak dapat bangun. Tanpa melengahkan masa, mereka bedua memapah Qhalif ke kerusi taman yang berhampiran. Merah wajah Qhalif menahan sakit di kakinya.
     “Siapa pula yang sebut-sebut nama kau ni, Qhal?” soal Qhafi.
     “Fea kot.” Zafrul masih mahu mengusik Qhalif. Bukannya dia tidak tahu, Qhalif paling benci dengan gadis bernama Fea.
     “Argh, tak ada maknanya.”
     Qhafi menyiku perlahan Zafrul. Dia duduk di hadapan Qhalif seraya memegang pergelangan kaki Qhalif. “Kau okey ke tak ni? Kalau tak, kami hantar kau balik je.”
     “Nak jalan susah. Terpaksalah batalkan aktiviti petang ni. Tak dapat nak pergi gym.”
     Kasut sukan yang dipakai Qhalif dibuka oleh Qhafi. “Aku tengokkan kaki kau ni ya?”
     “Suka hati kaulah doktor. Nanti kalau aku menolak panjang berjela pula bebelan kau. Sakit telinga aku nanti. Betul tak, Zaf. Tidak pasal-pasal pula si Zaf ni jadi peguam bela aku secara tidak langsung.”
     Qhalif ketawa lucu mendengar omelannya. Mereka memang bersahabat sejak kecil lagi. Tambahan pula, ibu bapa mereka bertiga bersahabat baik dan menjalinkan  hubungan perniagaan yang rapat sejak dulu lagi. Cuma haluan mereka yang berlainan. Qhafi Mukhlis atau Qhafie lebih meminati bidang perubatan. Zafrul Iskandar dan senang dipanggil Zafrul pula memasang impian dari kecil untuk menjadi seorang peguam dan kini berkhidmat sebagai peguam syarikat milik ibu bapa mereka bertiga. Qhalif pula meneruskan legasi untuk mentadbir syarikat milik keluarganya.
     “Kaki kau ni terkehellah Fiq. Balik nanti cuba rendam dalam ais. Kalau tak baik juga, pergi klinik atau hospital yang berdekatan,” pesan Qhafi. Dia memakaikan kembali kasut Qhalif dengan berhati-hati. “Jomlah. Kami hantar kau balik. Aku pandu kereta kau. Erm.. jom!”
     Qhalif berdiri. Kedua belah tangannya memegang bahu Zafrul dan Qhafi. Mereka berdua memimpin langkah Qhalif yang hanya mampu berjalan terhencot-hencot menuju ke kereta. Kebetulan jarak antara tempat mereka berehat tadi dengan tempat parkir masih jauh. Dia mengeluh sedikit. Memang agak malang harinya itu.
     Dugaan oh dugaan.

“Kenapa tu?”
     Aku berpaling tubuh. Kelihatan Puan Zaharah menghampiri Qhalif yang baru keluar dari sebuah kereta bersama dua orang rakannya. Hebat juga Qhalif. Sudahlah kacak, teman-temannya juga mempunya rupa paras yang begitu kacak.
     “Lia!”
     Panggilan Puan Zaharah memaksa aku meninggalkan kerja-kerja menanam pokok bunga. Aku menghampirinya. “Ya puan.”
     “Bawa anak saya masuk ke dalam. Saya nak uruskan pokok-pokok saya dulu.”
     “Ma? Sayang pokok dari Qhal?” Rajuk Qhalif.
     “Sekejap je. Dah, Lia. Bawa dia masuk dalam.”
     Qhalif  mengeluh. Dia menghulurkan tangan untuk ku pimpin ke dalam rumah. “Nak saya hantar sampai ke bilik?”
     “It’s okay. Aku nak duduk kat ruang tamu je. Kau ambilkan aku ais ke apa ke yang boleh buat sakit ini hilang..”
     Tanpa berlengah aku ke dapur mengambil beberapa ketul ais batu. Laju kakiku melangkah ke ruang tamu dan terus bersimpuh di hadapan Qhalif. Bersahaja aku meletakkan ais di dalam sehelai kain tuala lalu ditujukan ke kakinya yang kelihatan membengkak. Dari pandangan mata aku, begitu yakin aku katakan yang kakinya terkehel. Mungkin terjatuh.
     “Kenapa boleh jadi macam ni encik! Kenapa tak berhati-hati? Bengkak dah kaki ni.”
     “Kau terlebih risaukan aku ni kenapa? Muka aku pun kau tak pandang!”
     Tanganku berhenti bergerak. Ada benar juga kata-kata Qhalif. Kenapa aku terlebih risau pula dengan keadaannya. Tuala di tangan aku lepaskan. Aku berdiri. “Maaf, saya nak tolong puan di luar dulu. Errr.. saya keluar. Kalau ada apa-apa, panggillah saya.”
     Haiihhh, kenapa dengan aku tadi. Macam mana pula aku boleh risaukan dia sampai begitu sekali. Aulia, kau dah gila ke?





p/s: sorry kalau ada ayat/ perkataan yang salah. huhu. mood tengah tunggang terbalik. kempunan sling bag vintage look yang terpandang sekali, hati berdup dap dup dap suruh beli. okey bye..!!!