Friday, April 25

Ada Aku Untukmu 3

3
Jarum jam telah melewati angka 9 pagi. Matahari mulai meninggi dan melimpahkan cahayanya yang terang dan terik. Pada waktu ini, aku telah siap menyediakan sarapan untuk Qhalif, membasuh dan menjemur pakaian serta telah selesai membantu Puan Zaharah di kebunnya. Aku menjengahkan kepala ke ruang tamu. Kosong. Tiada sesiapa di ruang tamu. Tuan Razali pasti keluar bertemu rakan niaganya. Puan Zaharah mungkin keluar berpersatuan atau keluar ke pasar bersama Mak Biah.
  
   Kereta Qhalif masih ada di bawah garaj. Tidak berganjak sejak empat hari yang lepas. Tiada siapa yang mahu memandunya. Aku ketap bibir. Mungkinkah Qhalif masih ada di dalam biliknya? Tidur barangkali.

     Aku naik ke tingkat tiga dan terus menuju ke bilik tidur Qhalif.

     Tok! Tok!

     “Selamat pagi, encik. Dah bangun ke belum?” Aku meninggikan suara. Seboleh mungkin mahu dia mendengar dengan jelas suara aku yang berada di luar. Pintu diketuk lagi. “Encik..”

     “Ya!” sahut Qhalif kuat dengan suaranya yang sentiasa kasar.

     “Cuti lagi ke?” Takkanlah kaki dia sakit lagi. Ish, ini tak boleh jadi. Rasanya aku dah urut sebaik mungkin kakinya sepertimana arwah ibu pernah ajar. “Saya masuk dalam ya?”

     “Jangan!”

     Kuat jeritan Qhalif membuatkan aku terkejut. Mujur juga aku tidak masuk ke dalam bilik lagi. Hah.. dah bangun rupanya. Takut agaknya kalau aku mengulangi peristiwa bersejarah dia disiram air sejuk semasa tidur. Dek terlalu geram dengan Qhalif yang terlalu susah bangun dari tidur, memaksa aku menyiramnya dengan air sejuk sampai dirinya menggigil kesejukkan.  

    “Encik, kalau dah bangun turunlah sarapan. Saya nak siapkan pakaian encik ni. Saya masuk dalam ya?”

“Nanti dulu! Aku kata jangan, janganlah!” balas Qhalif kuat.

 Gila! Apa yang dia terjerit-jerit dalam bilik. Aku bersandar pada daun pintu sementara menanti Qhalif. Kedengaran suaranya yang mengomel itu ini tanpa diketahui butirannya. Entah apa sahaja yang dilakukan sehingga begitu lambat membuka pintu bilik.

     Dumm!!

     Apa tu? Err.. dia terjatuh ke? Err.. macam  mana ni. Nak masuk ke tak? Kasihan lah pulak kalau tak tolong. Erm.. masuk je lah!

     “Siapa suruh kau masuk?” Bersama dengan jeritan Qhalif, aku menutup kedua belah mataku. Patutlah dia marah aku  masuk tadi. Tak berbaju berseluar rupanya. Dia hanya bertuala. Aduh, apa yang aku buat ni. Malunya aku.

     “Manalah saya tahu yang encik seksi macam ni. Saya dengar bunyi orang jatuh. Saya masuk sebab nak tolong je. Encik baru lepas elok sakit kaki,” ujarku. Aku membuka sedikit mata Melihat sama ada dia masih terlentang di atas lantai atau tidak. “Err.. encik mahu saya bantu encik bangun ke?”

     Qhalif mengeluh panjang. Dia memalingkan tubuhnya sedikit. “Campakkan aku selimut. Nak tutup badan aku yang terdedah dari kau,” pintanya.

     ‘Macam manalah aku tak sedar yang masuk bilik air tak bawa seluar dan baju. Kacau betul. Perempuan ni pun satu, main ketuk pintu je. Kan dah terdedah semuanya. Malukan aku je minah ni. Teruk betul!’

     Setelah selimut aku campakkan, dia segera menutup tubuhnya yang terdedah. “Nak saya papah?”

     “Tak perlu. Kau ambilkan aku seluar dan baju pun dah cukup?”

     “Tu je? Seluar dalam tak nak?” Aku menyoal tanpa sedar. “Err.. bukan macam tu. Maksud saya.. err.. tak apalah. Nanti encik ambil sendiri. Saya.. saya keluar dulu..” Gerakku laju mengambil seluar sukan dan sehelai baju T di dalam almari pakaian. Aku mencampakkan seluar dan baju kepada Qhalif yang duduk di birai katil. Aku malu benar ketika itu. Segalanya tida munasabah dan gila.

      Aulia.. Aulia.. apa yang kau buat ni?



“Mana sarapan aku?”

     Aku menoleh ke belakang. Qhalif berdiri tidak jauh dari aku. Kelihatan Qhalif membuka tudung saji yang tiada isinya. Sengaja aku memandangnya dek kerana mahu melihat dia berjalan. “Dah boleh jalan elok?”

      “Sikit. Sarapan?”

      “Saya sedang panaskan balik sup cendawan. Tunggu sekejap. Boleh?”

      Qhalif mengangguk. “Kopi O.”

      “Kalau encik tak sihat kenapa tak minta saya hantar sarapan ke bilik saja. Susah  bukan encik nak turun tangga. Macam mana kalau encik tersilap langkah tadi. Terjatuh ke apa? Melarat pula kaki encik,” bebelku penuh kerisauan dan pada masa yang sama aku sudah siap menghidangkan sarapan pagi Qhalif.

     “Aku tak nak susahkan kau. Lagipun aku tak nak kau ter‘kebetulan’ lagi melihat apa yang sepatutnya kau tak perlu lihat,” getusnya sedikit kasar. “Lain kali aku cakap jangan, kau jangan buat.”

     “Yalah. Saya faham. Saya tak sengaja. Risau!”

     Memang kerek mamat ni kan. Suka cari salah orang lain. Pelik betul aku dengan sikap sentiasa betul dia tu. Tapi, untung juga bukan. Aku secara kebetulan dapat lihat apa yang sepatutnya aku tidak perlu lihat. Hehe..

     Bukk!

     Terpempan sejenak aku dengan tindakannya yang menepuk meja. Wajahnya aku pandang kosong. “Lupakan apa yang kau  nampak tadi. Siap kalau ada yang tahu,” pesannya.

     Aku tersenyum lantas mengangguk. Setelah itu aku menghidangkannya sup cendawan bersama beberapa keping roti.



Pintu bilik dikuak lebar memaksa aku mengalihkan pandangan ke arah pintu. Aku senyum menyapa Mak Biah yang melangkah masuk. Aku kembali menumpukan perhatian pada skrin televisyen yang sedang menayangkan drama kesukaan aku.

     “Asyiknya Mak biah tengok kamu nonton drama Korea ni. Faham ke cakapnya apa?”

     “Ermm.. sikit-sikit saya fahamlah. Kenapa? Mak Biah nak saya ajarkan bahasa Korea. Boleh juga,” ujarku bergurau. Mak Biah menggeleng pantas menolak cadangan mengarut aku itu. “Eleh.. dalam hati Mak Biah nak belajar kan?”

      “Kamu baca hati Mak Biah ke tadi?”

     Aku menggeleng. “Tak faham pun. Bahasa Jawa je dalam hati Mak Biah tu. Ingat kat Pak Mat sebelah rumah tu ke?” usikku lagi. Membulat mata Mak Biah memandang aku.

     “Ke situ pulanya. Ada-ada saja kamu nilah. Erm.. Qhalif hari ni macam mana? Okey ke tidak kakinya tu? Semalam kamu urut dia, ada elok ke kaki dia?”

     “Okey je dia. Tak ada apa-apa masalah pun. Tadi dia turun makan sarapan di bawah.”

     Mak Biah membuntangkan mata. Tidak percaya dengan kataku. “Dah eloklah kiranya tu. Hah, dia ke mana? Tak nampak pun? Kereta dia pun tak ada kat depan.”

     “Dia pergi kerjalah.”

     Mak Biah tercengang. ‘Biar betul. Selalunya, selagi tidak betul-betul sihat, jangan harap dia nak bergerak lebih-lebih. Peliknya!’



Qhalif menyimpulkan senyuman selebarnya. Aneh dengan perasaannya sendiri. Sejak akhir-akhir ini selalu pula dia mencari pasal dengan Aulia. Entah apa yang sering merasuk kepalanya. Suka benar dia melihat pipi gadis itu yang merona merah akibat dimarahi mahupun kerana malu. Comel dan semulajadi wajahnya. Semalam sahaja dia melihat pipi gadis itu merona merah dalam kejadian yang tidak disangka-sangkakan. Melihatkan  itu sukar untuk dia memarahi gadis itu. Dirinya pula yang dimarahi. Memang salahnya juga.

     “Wah.. wah.. senyum besar nampaknya kawan aku hari ni? Apa kes? Ada durian runtuh ke kawan?” sergah Zafrul. Dia tersengih apabila melihat Qhalif tersentak. Terus dia mengambil tempat duduk tidak jauh dari tempat Qhalif. “Erm.. semalam aku call, suara macam orang sakit tenat je. Sekarang aku tengok macam dah ada nyawa baru.  Kaki kau dah okey ke?”

     “Dah.. tersangatlah okey. Kalau kau nak suruh aku pergi main bola sepak sekarang pun boleh. Nak ikut ke?”

     “Amboi. Best bunyinya tu? Erm. boleh aku tahu hospital mana kau pergi. Nak juga aku try” tanya Zafrul ingin tahu.

     Qhalif mengerutkan dahi. “ Kau sakit apa? Kenapa nak berurut pula?”

     “Buat-buat sakit. Teringin juga kena urut..”

     “Aku tak pergi hospital pun. Kat rumah je. PA aku yang urut. Entah apa kena dengan angin dia malam tadi. Elok je dia masuk dalam bilik aku nak urut kaki. Tak sampai beberapa minit dia mengurut, terus aje aku boleh berjalan lancar..” jelas Qhalif. Dia memandang Zafrul yang sepertinya merasa kagum dengan penjelasannya.

     “Pandai Damien mengurut.” Zafrul langsung memuji Damien. Dia hanya mengenali Damien yang bergelar pembantu peribadi Qhalif di pejabat dan tidak pernah tahu akan kewujudan Fitri Aulia.

     “Bukan Damien. PA aku lagi satu. Aulia namanya. Fitri Aulia!”

     “PA kau lagi satu? Orang baru? Atau dua PA?” Qhalif mengangkat dua jarinya. “Mama Ara punya kerjalah ni, kan?”

     Qhalif mengiyakan sahaja. Zafrul sendiri mengenali siapa mamanya. Tidak perlu bercerita lebih panjang.

     “Percaya atau tidak, aku tak boleh nak pecat dia. Sebab mama kata, kali ini hanya dia yang boleh pecat pekerja. Bukan aku. Lagipun kali ini minah tu mama aku yang bagi gaji. Bukan aku..”

     “Cun tak?”

     “Seribu kali cun dari awek kau.”

     Zafrul menarik wajahnya. Memang agak sukar diterima kalau ada yang mengatakan kekasihnya yang berstatuskan model dan pelakon itu kurang cantik dari seseorang. Memang agak sukar untuknya terima.

     Qhalif ketawa melihat wajah sugul Zafrul. “Erm.. ada apa? Selalunya ada hal mustahak baru datang ke sini? Kembar kau mana?”

     “Qhafi?” Qhalif mengangguk. “Dia ada pembedahan pagi ni. Petang nanti pula dia ada date dengan pesakit dia”

     “Date? Siapa yang nak date dengan dia tu?”

     “Maksud aku, temu janji dengan pesakit dia. Di hospital, medical check up!”

     “Ooh..”



Bayangan wajah  Aulia bagaikan menggamit perasaan Qhalif. Tambahan pula seharian itu dia asyik terbayangkan wajah Aulia muncul di skrin komputernya. Sesekali Aulia hadir di sebalik kelopak matanya yang tertutup. Dia bagaikan diekori bayangan Aulia sepanjang hari. Entah mengapa dia merasa sedikit terharu dengan layanan Aulia. Walaupun agak kasar dia melayan Aulia, namun dia mengakui cukup suka. Suka mendengar omelan gadis itu. Dia juga suka dengan segala sikap Aulia yang tidak seperti pembantu peribadinya yang terdahulu.

     ‘Aku suka dia ke?’ soalnya kepada dirinya sendiri. ‘Tak mungkin kan? Qhalif Qadri tidak mungkin akan jatuh cinta pada pandangan pertama. Aku juga tidak akan pernah mungkin mencintai seorang gadis yang suka menyakitkan hati seperti Fitri Aulia. Tapi, ini kali pertama aku merasakan sebegitu. Dia gadis pertama yang membuatkan hati aku berdegup kencang. Hanya dia yang sering membuatkan aku rasa.. rasa.. seperti.. cinta?’ Qhalif menutup kelopak matanya dan cuba memikirkan peristiwa malam sebelumnya di biliknya. Malamnya terganggu dengan kehadiran Aulia di biliknya.

     “Encik.. saya urutkan kaki encik ya,” pinta Aulia dengan lemah lembut. Aulia terus duduk di hujung kaki Qhalif. Bersahaja dia meletakkan kaki lelaki itu di atas pangkuannya.

     “Tak payah. Esok aku nak jumpa doktor. Lepas tu eloklah kot..” Kakinya yang diletakkan di atas pangkuan Aulia ditarik balik. “Lagipun aku  takut kau apa-apakan kaki aku ni..”

     “Saya ni baik-baik nak urutkan kaki encik. Sampai hati kata saya macam tu. Saya ikhlas lah nak urut.. lagipun arwah  ibu saya pernah cakap. Kalau kita urut dengan ikhlas walaupun sakitnya yang teramat sangat, Insya-Allah hilang. Jadi saya dengan rasa ikhlasnya nak tolong urut kaki encik ni tau.”

     Keheningan mata Aulia yang kelihatan betul-betul ikhlas membuatkan Qhalif menghulurkan kakinya kembali. “Minyak angin ada kat dalam laci tu..” ujarnya. “Urut kaki saya dengan penuh lemah lembut. Jangan main kasar dengan saya. Kalau tidak aku tendang je muka kau nanti.”

     “Tendanglah. Encik dapat dosa. Saya dapat pahala..” sambut Aulia nakal. Sengaja dia ketawa lepas di hadapan lelaki itu. “Erm.. encik ni memang pelik. Sekejap ber’aku’ ‘kau’ dengan saya. Kadang-kadang ber’saya’ ber’awak pula. Mana satu karakter encik ni..” soal Aulia. Dia masih mencari-cari botol minyak angin di dalam sebuah laci yang ditunjukkan Qhalif sebentar tadi. “Siapalah yang sanggup bercintan cintun dengan encik ni kan?” Dia duduk berhadapan dengan Qhalif. Aulia mula mengurut kakinya.

     Qhalif memandang Aulia dengan pandangan tajam. Turun naik dadanya menahan amarah. Semakin sakit hatinya melihat Aulia yang menahan gelak. “Apa masalah kau kalau tak ada orang yang nak aku?”

     “Yalah, muka hensem tapi tak laku. Confirm semua orang fikir encik ni gay.”

     Sungguh berbisa ayat yang dilontarkan Aulia kepadanya. Begitu tajam. “Jangan sibuk. Buat aje kerja kau. Ataupun aku pecat kau..”

     Sengaja Aulia tersenyum-senyum dihadapan Qhalif. “Encik lupa apa yang Puan cakapkan? Kali ini hanya mama yang berhak tentukan selama mana PA kamu bertahan. No objection!” bersahaja Aulia meniru percakapan Puan Zaharah.

      Kaki yang enak diurut oleh Aulia ditarik balik. “Saya nak rehat. Awak boleh keluar.”

      “Encik rehat je lah. Saya tak kacau pun. Lepas urut ni saya confirm yang encik kalau jalan tak senget sebelah lagi. Macho je..”

     “Apa-apalah..” desisnya seraya membetulkan tempat duduknya yang semakin menurun. “Saya nak tanya awak. Apa kes baik sangat ni? Ikhlas tiba-tiba je. Pagi tadi bukan main awak yang menyakat saya berjalan  macam  itulah.. inilah. Sekarang duduk kat sini mengurut kaki saya..”

     “Encik nak tahu ke?” Qhalif mengangguk kencang. “Kalau saya cakap encik jangan marah, ya?”

     “Janji. Cakaplah kenapa?”

     “Saya bosan  tengok  muka encik kat  rumah. Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis cuti. Kalau esok tak okey juga, encik masih cuti. Belum campur dua hari cuti, esok dan lusanya. Aduhai, bosanlah. Macam bangkai bernyawa saya tengok kat dalam rumah ni..” jawab Aulia dengan tawa yang tidak dapat nak ditahan. “Saya takut kalau encik cuti lagi esok..” sambungnya dengan sisa tawa berpanjangan.

     “Haha.. lawaknya. Sudah.. saya dah sihat walafiat. Kau dah boleh keluar.”

     Kakinya ditarik balik. Dia menghalau Aulia dengan menolak tubuh gadis itu menuruni katilnya dengan bantal peluk. Sakit hatinya apabila gadis itu ketawa lagi. Lebih kuat.









3 comments:

emyliana adlin said...

hehehehe.....kelakar aulia kata cm tu....cm comel jer.....nk lg....best sgt

emyliana adlin said...

hehehehe.....kelakar aulia kata cm tu....cm comel jer.....nk lg....best sgt

Nadi Ilham said...

haha.. nak lg menarik tunggu bab lain. hahaha