Sunday, January 5

Pen Merah Pen Biru part 1

*** Prolog ***

Kakinya mulai menggigil kesejukkan. Tubuhnya turut terikut sama memaksa dia mencari selimut yang telah selamat jatuh ke lantai. Tidak pernah-pernah dia mahu berselimut, kini dia tercari-cari benda alah itu. kelopak matanya masih berat untuk dibuka. Kesejukan yang menyelubungi seluruh tubuhnya jelas memberitahu dirinya untuk tidak bangun dari pembaringannya. ‘Lantak kau lah selimut. Ada ke tak kau, tidur harus disambung. Baru nyaman..’

     Nurul Hana membetulkan posisi baringnya. Bantal peluk dicari tanpa menggunakan matanya. Kedua belah tangan meliar mencari bantal peluk. Kiri, kanan, kiri, kanan.. tiada!

     Ke mana pula menghilangnya bantal peluknya? Tidak mungkin abang Faizal curi lagi. Hisyh..

     Kelopak mata dibuka lebar. Dia mahu mencari bantal peluknya. Selimut hilang dia tidak kisah. masih boleh tidur dengan nyenyak. Bom dilontar ke dalam rumahnya juga, dia masih boleh lena dibuai mimpi. Tetapi, bantal peluknya hilang? Memang tak dapat dimaafkan si pencuri itu!

     kaki sudah mencecah lantai. Dia masih berkira-kira mahu mencari bantal peluknya. Mungkin terjatuh ke bawah katil. Tak mungkin Faizal mengambilnya. Sewaktu dia masuk ke dalam bilik, ia masih ada. pintu bilik dikunci kemudiannya. ‘Hurmm..’

     pergelangan tangannya tiba-tiba dipegang seseorang. Nurul Hana benar-benar terkejut sehingga melompat turun dari katil. Dia memandang seorang lelaki yang berbaring di atas katilnya. Buntang mata dirinya. “Cikguuuuu…”

     “Awak mimpi lagi ke, Hana? Cuba cakap dengan abang yang awak tak mimpi benda yang sama…” Zikri Irfan duduk. Terpisat-pisat matanya memandang Nurul Hana. Dia menggeleng-gelengkan kepala melihat isterinya. Tidak habis-habis bermimpi. Mimpi yang sama pula tu.

     “Mimpi? Mana ada!”

     “Jangan tipu. Awak mesti mimpi tengah cari bantal peluk awak, kan?”

     Nurul Hana mengherotkan bibirnya. terkejut. ‘Mana cikgu tahu? Wah, dah pandai jadi penyiasat pula cikgu aku ni. Hurm…’

     “By the way, apa yang cikgu buat dalam bilik saya sekarang? Sedar atau tidak?”

     Pasrah! Zikri Irfan menepuk dahinya berulang kali. Sah, isterinya masih di bawah pengaruh mimpi. Tidak sedarkah Nurul Hana siapa dirinya yang sebenar? Tidak sedarkah Nurul Hana akan keadaan dirinya yang sedang sarat mengandung anak pertama mereka berdua? Hampir setahun lamanya mereka mendirikan rumah tangga, Nurul Hana masih berkelakuan sebegitu rupa. Mujur bukan setiap malam.

     “Auwww…” Terjerit Nurul Hana tiba-tiba. Perutnya merasa senak. Dia memandang perutnya. Besarnya perut. “Ke.. na.. pa?”

     “Anak awak cuba sedarkan awak dari mimpi.”

     Pandangan penuh bererti dilemparkan ke arah Zikri Irfan. Makin lama makin pelik cara pandangannya. Nurul Hana ketawa terbahak-bahak. “Memanglah Hana tak ada bantal peluk, kan? Lepas kahwin dengan abang, abanglah bantal peluk Hana!” dia ketawa kuat. “Aduhai.. jom sambung tidur..”

     Keluhan lega dilepaskan Zikri Irfan. “Sedar pun..”

     Malu-malu Nurul Hana kembali berbaring di sebelah suaminya. Dia membiarkan Zikri Irfan memeluknya. Selesa. Hangat. Itulah bantal peluknya yang dicari. Bantal peluk yang pandai memeluknya. ‘I love you my bantal busyukkkkkk..’

*****



Nurul Hana turun ke dapur dalam kemalasan. Sebolehnya dia mahu berbaring di atas katil dan terus menyambung tidur tanpa gangguan sesiapa. Paling tidak, biar dia bermalasan di atas katil sehingga dia benar-benar mahu bergerak. Tambahan pula, hari ini merupakan hujung minggu. Zikri Irfan tidak bekerja. Perlukah dia menyiapkan sarapan di awal pagi? Dia memusingkan tubuhnya memandang Zikri Irfan di meja makan. Suaminya sedang membaca suratkhabar. ‘Saja je. Dah keluar pergi beli suratkhabar tu, belilah breakfast sekali. Kan senang?’

     “Malam tadi, ada orang janji nak masak bihun goreng. Abang dah tolong rendam bihun, kisar cili, potong bawang.. hiris ayam. Silalah memasak dengan gembira.”

     “Iya ke Hana janji?” Nurul Hana menjungkitkan keningnya. Pelik benar kalau dia berjanji sebegitu rupa pada Zikri Irfan. Bab memasak bukan kepakarannya. Jadi, begitu mustahil bila dia membuat janji yang menyimpang. Huh, tak boleh dipercayai.

     “Ya, kemudian Hana bagi syarat pada abang. Kononnya, Hana sejak mengandung ni.. tak suka kupas bawang.. pegang ayam.. kan?”

     Bibirnya diherotkan. Perlian yang begitu sempurna kepadanya. Pandai Zikri Irfan mengenakannya. Dia mengeluh perlahan. Teringat janjinya pada malam semalam. Memang dia berjanji pada Zikri Irfan mahu membuar bihun goreng. Semuanya kerana dia tidak mahu memasak makan malam dan meminta suaminya yang masak. Balasannya, dia perlu masak sarapan pula.

     “Abang.. tahu kan Hana masak tak sedap?”

     “Tahu.” Suratkhabar diketepikan. Dia memandang Nurul Hana sebelum beralih arah pada smartphone di meja. “Nah resepi. Abang carikan.. pergilah masak!”

     Kecil pandangan Nurul Hana memandang suaminya. Sudah pandai Zikri Irfan memerangkapnya. Sebelum ini, mudah untuknya melawan. Pasti Zikri Irfan mengalah. Tetapi tidak sekarang. Dia pasti terkena. Mesti abang Faizal yang ajar!!

     “Lepas masak, bersiap. Kita keluar beli barang sikit.”

     “Beli barang? Barang apa? Barang dapur banyak lagilah. Hana nak sambung tidur lepas ni. Mengantuk.”

     “Barang baby.. kandungan Hana dah masuk tujuh bulan tau?”

     Nurul Hana diam seketika. Muncul sesuatu di dalam fikirannya. “Ermm.. okey juga. Minggu depan start puasa. Lepas tu, raya. Hurm~ bagus. Cari baju raya sekali, jom?”

     “Barang baby dulu. Penting. Tak ada kelam kabut nanti.”

     “No! sekali baju raya!”

     “Awak nak beli baju raya juga ke?” soal Zikri Irfan sinis.

     “Kenapa tak boleh pula?”

     “Bukan doktor jangka awak bersalin hujung bulan puasa? Tengah pantang pun, nak beraya?” bidas suaminya sebelum tersenyum penuh makna.

     “Alaa.. jangka je. Belum tepat lagi. Bolehlah?”

     “No!”

     “Janji yang Hana akan..”

     “Tak payah nak berjanji sangatlah, Hana. Bihun goreng abang ni pun tak siap lagi..”

     Isy.. terkena lagi.

     “Yalah.. yalah.. tunggu sekejap!”





Zikri Irfan datang dari arah belakang. Tanpa sebarang amaran, tubuhnya dipeluk mesra oleh Zikri Irfan. Kegelian dirinya seketika namun dibiarkan saja kerana suka diperlakukan sedemikian rupa. Terasa hangat dan intim. “Bang, kenapa ni?”

     “Kenapa seksi sangat ni?” soal Zikri Irfan seraya mencium pipi Nurul Hana.

     Berkerut kening Nurul Hana jadinya. Seksi? Segera dia memandang tubuhnya. Mana ada seksi? Pakai blaus longgar dengan skirt kembang labuh ni lagi. Tang mana seksi? Buta ke suaminya? Dia perhatikan lagi. Jarang ke kain tersebut. Erm.. tak jarang. Jadi, apa yang seksi? Lagipun, dia mengandung. Tak mungkin kelihatan seksi lagi.

     “Abang ni.. mana ada seksi. Isy..”

     “Seksi di pandangan abang.”

     “Banyaklah. Ingat seksi betul. Jauh sikit. Nak bersiap ni.”

     Zikri Irfan menjauh dan duduk di katil. Matanya tidak lepas memandang Nurul Hana yang bersiap. Dia suka penampilan Nurul Hana sejak akhir-akhir ini. Tanpa dia sedar, isterinya mula berubah. Kalau dulu, begitu mudah Nurul Hana tanpa menutup aurat. Pakai seluar jeans ketat dan baju lengan pendek. Bertudung singkat. Puas diarah tukar baju, pasti Nurul Hana membentak. Dibiarkan sahaja isterinya dengan harapan akan berubah.

     Doanya termakbul tanpa dia sedari. Perlahan-lahan Nurul Hana berubah. Dari skirt labuh dan baju T-shirt lengan panjang, ia kelihatan manis. Selendangnya labuh. Menutup dada. Setelah kandungannya mula kelihatan, Nurul Hana mengenakan jubah, mahupun blaus longgar. Segalanya berubah dari segi penampilan.

     Namun, hanya satu yang tidak mampu diubahnya. Sikap Nurul Hana yang suka membentak, pemalas, dan perungut. Dia masih sabar menanti perubahan isterinya.

     “Pelembap bibir dah habis,” adu Nurul Hana pada Zikri Irfan. Dia menyuakan pelembap bibir pada suaminya. Bukti.

     “Check apa yang dah habis. Boleh beli nanti.”

     Tidak perlu dinafikan tentang sesuatu mengenai Nurul Hana. Dia tahu seorang perempuan mahu kelihatan cantik sepanjang masa. Tetapi isterinya begitu mudah. Pakai apa yang ada, capai apa yang senang, siap! Nurul Hana tidak bermekap. Pipinya hanya disapu bedak talcum wangian ros. Bibirnya dihiasi pelembap bibir sahaja. tiada mascara, tiada eyeliner. Mudah.

     “Tak ada. hanya ni.” Nurul Hana mendapatkan beg sandangnya. Diperiksa isinya bagi memastikan tiada yang tinggal. “Jom”




“Bihun goreng yang Hana masak tadi.. sedap.”

     “Eleh.. suka nak ambil hati orang.”

     “Abang tak tipu. Memang sedap. Kalau dulu, adalah masin sikit, tawar.. tapi, tadi Hana masak, cukup rasa.” Zikri Irfan senyum sambil mencuri pandang wajah Nurul Hana. Tangan isterinya digamit dan digenggam penuh mesra.

     “Nak beli barang baby kat mana?”

     “AEON sudah!”

     “Abang, ini kali pertama kita sambut raya..”

     “Puasa pun belum mula, dah cakap tentang raya?” soal Zikri irfan mengusik Nurul Hana.

     “Eh, salah ke? Hana teruja gila nak sambut raya dengan abang tau. First time. Nak je Hana tulis kat dalam diari, hari bersejarah dalam hidup Hana. Sambut raya pertama dengan suami. Insya-Allah dengan anak juga. Hah.. pakej!”

     Pipi Nurul Hana dicubit lembut. Mudah benar isterinya melenting. Masih muda, katakan. Tidak pandai mengawal emosi. Tambahan pula sedang hamil anak pertama. Pelbagai emosi terluah tanpa disedari. “Ya, abang pun teruja. Tapi sabarlah dulu.”

     “Tak nak..” Laju Nurul Hana membalas. Earphones dikeluarkan dari laci dashboard. Cepat-cepat dia mencucukkan hujungnya di telefon bimbit dan earphones disumbat pada kedua belah telinganya.

     “Macam budak-budak!” ulas Zikri Irfan. Sikap isterinya memang sudah dapat dihafal. Tidak pernah mahu mengubah perangai. Pening kepalanya melayan sikap keanak-anakkan Nurul hana. Tertanya-tanya Zikri Irfan, ke manakah hilangnya sikap sopan santun yang sepatutnya menjadi padanan gaya muslimah Nurul Hana? Tersilap letakkah?
*****