Thursday, May 1

Ada Aku Untukmu 4

4
Mak Biah mencuit bahuku beberapa kali sekadar mahu menarik perhatian aku. Sejak tadi, Mak Biah cuba memanggil aku bila telefon bimbit tidak berhenti dari bergetar. Aku masih tidak berganjak dari tempat asal dan terus menyiang ikan bilis. “Angkatlah telefon tu. Penting agaknya, Lia.”

     Aku menggeleng perlahan. “Tak penting Mak Biah.”

     “Tak angkat mana tahu. Kamu ni!” Mak Biah berlalu pergi. Rungsing barangkali mendengar bunyi getaran di atas meja makan. 

     Aku ketap bibir dan memandang skrin telefon bimbit. Sudah 10 panggilan tidak dijawab. Nombor yang sama. Aku begitu kenal dengan nombor tersebut. Disebabkan itu juga, aku tidak mahu menjawab panggilannya.

     Apa yang dia mahukan dari aku? Panggilannya yang berulang kali begitu merungsingkan fikiran. Pelbagai pertanyaan datang bertandang.

     “Hello, nak apa?” soalku terus tanpa memberi salam. Aku menantikan respon darinya. Negatif atau positif?

     “Kak Lia ke tu?”

     Salah orangkah? Aku kenal benar dengan dirinya. Belum pernah-pernah lagi dia bersuara begitu lembut dan mesra dengan aku. Seumur hidup aku, dia paling membenci aku. Sampaikan aku tidak boleh menyentuh barangannya. Jijik katanya.

     “Lily ke tu?” Aku memulangkan kembali soalan yang sama kepadanya.

     “Ya kak. Lily ni. Akak kat mana? Boleh kita jumpa?”

     Hah? Jumpa? Biar betul.

     “Err.. jumpa? Akak tak salah dengar ke, Lily?”

     “Urgent kak. Kita jumpa petang ni. Boleh?”

     “Akak sibuk hari  ini. Maaflah.”

     Suara Lily kedengaran lemah. Dia mendengus perlahan. “Akak, try minta cuti. Lily perlukan akak sekarang ini. Hanya akak je dapat tolong Lily. Antara hidup dan mati abang Imran, kak. Jangan hampakan lily. Please..”

      Hidup dan mati Imran? Apa kenanya dengan Imran sampaikan Lily terpaksaa meminta bantuan dari aku.

     “Abang Imran tiada kaitan dengan akak. Maaflah.. akak..”

     “Ya, abang tak ada kaitan dengan akak. Tapi akak perlu tahu tentang sesuatu sebelum segalanya terlambat, kak. Hati abang..”

     “Cukup Lily, cukup. Akak dan abang Imran tidak pernah ada kaitan. Hubungan kami tidak pernah ada lebihnya.” Suara aku keraskan sedikit. Menegakkan kebenaran yang nyata.

     “Kak.. bagi Lily..”

      “Akak banyak kerja. Bye.”

      Telefon bimbit terus diletakkan ke tepi. Sejenak aku membatukan diri. Terganggu dengan segala kata-kata dari Lily. Hidup dan mati? Kenapa dengan Imran? Apa yang Lily mahu terangkan kepada aku?

     Dahi ditepuk berkali-kali. Begitu tegar aku menyakitkan hati orang lain.

     Telefon bimbit dicapai dan aku terus menghantar pesanan ringkas kepada Lily. Aku perlu tahu kisah sebenar dan menyelesaikan kekusutan yang berlaku. Lily pasti sudah lembut hati. Kalau tidak, pasti dia tidak akan menghubungi aku.



Akhirnya, aku keluar menemui Imran pada hari ini. Pertemuan yang diatur oleh adiknya, Lily. Kami bertemu di sebuah kompleks beli belah di ibu kota. Aku yang memilih tempat pertemuan tersebut kerana bagi aku di sini sahaja tempat yang sesuai untuk aku bertemu dengannya. Tambahan pula, kesesakkan orang ramai dapat mengurangkan debar di dada bila berduaan dengan Imran.

     Lily sudah lama meninggalkan kami berdua. Memberi ruang kepada aku dan Imran untuk berbual. Langkah yang bijak kerana aku tidak mahu Lily mendengar sebarang perbualan kami. Aku risau, andai segala butir bicara yang keluar dari mulut aku akan diputar belitkan kepada Datin Julia. Siapa sahaja yang dapat jangkakan. Dia berbuat baik semata-mata mahu mengintip aku. Hah.. manusia!

     “Straight to the points! Apa yang penting sangat? Saya nak cepat. Lagipun saya minta keluar dengan majikan saya sampai pukul lima saja.” Aku tidak tipu tentang hal itu. Aku meminta izin dari Puan Zaharah untuk keluar sehingga jam lima petang sahaja walaupun, aku bebas keluar masuk sebelum jam sebelas malam.

     “Kenapa awak tidak beri saya peluang untuk mencintai awak?”

     Imran memandang sayu wajahku. Aku lihat dia begitu berlainan dari dulu. Dia kurus. Wajahnya, dan tubuhnya. Kurus. Seperti sedang sakit.

     “Sejak bila encik mencintai saya? Sejak Datin uruskan pertunangan antara encik dan Hayati?” dugaku sinis.

     Kepala digelengkan. “Tidak! Saya mencintai awak sejak saya kecil lagi. Kita membesar bersama-sama, Aulia. Perasaan cinta dan sayang sudah lama wujud dalam hati saya.. percayalah!”

     “Kelakarlah encik. Setahu saya, masa encil bersekolah menengah dahulu saban hari akan pulang dengan kesan lebam dan luka. Sebabnya, berebutkan perempuan di sekolah. Apa maknanya itu?”

     Aku memeluk tubuh dan menghadapnya. Imran meraup wajahnya yang kusam. Matanya kelihatan bengkak dek berendam air mata. Argh, tidak mungkin kerana aku dia jadi sebegitu rupa.

     “Saya cintakan awak. Boleh tak awak faham perasaan saya saat ini. Saya perlukan awak.”

     “Sayangnya saya tidak memerlukan encik dalam hidup saya. Itupun encik susah untuk faham? Saya tiada perasaan terhadap encik. Sebagaimana yang mama encik sangkakan.”

     Jemari aku yang terletak di atas meja dicapainya dan diramas seketika. Aku yang tidak selesa cuba menarik kembali tangan aku. Namun dia mengeratkan lagi pegangannya. “Encik.. tolonglah fahamkan hati saya juga. Encik kena tahu, antara kita tiada apa-apa. Kosong. Kita tak boleh bersama..”

     “Tolonglah Aulia, saya sayangkan Aulia seorang je. Susah hati saya nak terima perempuan lain. Hati saya hanya ada Aulia seorang.”

     “Susah betullah nak cakap dengan encik ni. Saya tak suka encik. Dalam erti kata lain saya tak nak berpacaran atau buat apa-apa hubungan dengan sesiapa pun sekarang. Saya nak bebas!” bidasku. Memang sukar untuk berbual secara halus dan berhemah dengan Imran. Tidak ubah perangainya seperti Qhalif. Menyakitkan hati. “Sudah lah. Saya nak balik.”

     Aku menarik kasar jemariku sewaktu dia leka. Berbakul marahku padanya kerana membuat aku berdosa dengan pegangannya. Sebal! Aku bangun dan terus menonong berjalan keluar dari kafe.

     “Kak! Kak!” panggil Lily.

     “Nak apa Lily?” soalku kasar. Geram kerana langkahku dihalang olehnya.

     “Abang betul-betul cintakan kakak. Setiap hari dia menunggu kehadiran kakak. Kak, bagilah dia peluang. Kasihankan abang, kak. Pasal mama kakak jangan risau. Biar Lily yang uruskan. Yang pentingnya, kakak dan abang dapat bersama..”

     Sudah! Kenapa Lily pun turut berubah. Orang yang membenci aku selama ini datang merayu kepada aku untuk menerima abangnya. Tak pelik namanya?

     “Lily, masalahnya bukan apa. Akak tak minat dengan abang awak. Sumpah, Lily. Tak berminat walaupun 0.01 peratus. Nak sampai 0.01 peratus tu pun amatlah payah,” luahku.

      “Atau akak tak percaya pada Lily? Err.. akak masih ingat apa yang Lily cakapkan dulu ke? Kak, itu semua dari mulut Lily yang tak tahu apa-apa? Lily terlalu ikutkan perasaan dan terlalu dengar cakap mama. Sekarang Lily amat mengerti apa yang kakak rasakan dulu. Lily..”

      “Lily, selama akak tinggal dalam rumah Lily, akak hanya anggap Imran sebagai seorang abang sahaja. Akak hanya sayangkan dia, bukan cinta! Kalau akak terima dia sekalipun, susah Lily. Akak tak nak dia menaruh harapan untuk mendapatkan cinta akak, dia juga yang akan merana nanti..”

     “Aulia.. kenapa susah sangat Aulia nak berikan peluang pada saya?”

     Aku berpaling. Imran sudahpun berada di belakangku saat itu.

     “Kalau Aulia tak nak bersama dengan saya sepanjang hayat, cukuplah sekadar sampai saya menutup mata.. izinkan saya bersama dengan orang yang saya cintai.. walau untuk sementara waktu.”

     Usai meluahkan kata-kata itu, dia melangkah pergi. Aku mengekori langkahnya dengan ekor mata. Longlai dan lemah. Begitu berlainan dengan Imran Hadi yang aku kenali lama dulu. Kenapa dengan sekarang? Dan.. apa yang dia merepek tadi? Mesti ada sesuatu yang berlaku sampaikan dia sanggup berkata sebegitu. “Apa maksud abang awak?” soalku.

     Lily terdiam. “Abang.. abang.. sakit. Doktor telah sahkan abang ada barah hati, kak. Sekarang abang menderita sangat. Terutama selepas kakak menolak cintanya. Tambahan pula mama asyik paksa abang kahwin dengan Kak Yati..”

     Aku mematungkan diri. Terkejut mendengarnya. Lelaki yang begitu periang dan aktif seperti Imran sakit? Selama aku mengenalinya, begitu sukar untuk aku lihat dia jatuh sakit.

     “Kak.. abang benar-benar berharap mahu bersama dengan akak sampai dia berhenti bernafas..” ucap Lily sebelum meminta izin untuk pergi.

     Ya Allah, begitu hebat bebanan yang ditanggung oleh Imran. Kerana akukah semuanya itu?



Aku tidak terus pulang selepas bertemu dengan Imran dan Lily. Aku mengambil masa untuk berjalan-jalan di sekitar pusat membeli-belah tersebut dalam mencari misi ketenangan dek rasa tidak tenteram yang bertandang. Begitu mudah aku jatuh kasihan pada Imran. Namun, itu tidak akan menjadi persoalan mengapa aku berpatah balik dan mencintainya.

     Tidak! Itu tidak mungkin.

     Sebenarnya, aku sayangkan dia sebagai seorang abang. Sejak aku kecil lagi, dia lelaki pertama yang mendampingi aku. Dia sering hadir sebagai penyelamat. Di mana sahaja aku berada dia ada di sisi. Aku sayangkan hubungan sebegitu. Aku hanya mahu dia menjadi pelindung aku tanpa wujudnya sebarang perasaan cinta. Aku tidak yakin dengan cinta untuknya.

     Masalahnya kini, dia menaruh harapan kepada aku. Dia inginkan sebuah perhubungan berlandaskan syariat pergaulan lelaki dan perempuan. Sebuah perkahwinan yang diinginkannya. Aku tidak mampu.

      Bukk!

     “Maaf, maafkan saya!” ucapku walaupun ia  bukan salah aku. Gadis yang berdiri di hadapan aku itu yang bersalah. Dia yang melanggar aku sebentar tadi. Aku mengangkat wajah setelah tiada suara keluar dari mulut gadis yang telah melanggar aku tadi. Aku memandang lelaki di sisinya. Uhh.. Qhalif?

     “Heyy you!!” seru gadis itu. Seketika aku terpana apabila dengan selambanya gadis kecil molek itu menujal-nujal dahi aku. “You ingat badan I ni tempat untuk langgar ke. Tadi you jalan pakai apa huh?”

     “Jalan pakai kakilah. Takkan pakai hidung kot?” jawabku bersahaja.

     “Kurang ajar punya perempuan. Berani you cakap loyar buruk dengan I!”

     Argh, aku benci situasi sebegini. Kepala sedang pening memikirkan masalah yang pertama, dan kini hadir pula masalah yang kedua.

     Wajah gadis itu aku pandang. “Saya minta maaf.” Selembut yang mungkin, aku lembutkan lenggok suara. Aku tidak mahu membuang masa melayan kerenahnya. Pasti tidak berpenghujung.

       “No!”

      Tubuhku dihalangnya. Aku ke kiri, dia ke kiri. Aku ke kanan, dia ke kanan. Berulang kali sehinggakan aku naik bosan.

     Qhalif yang masih membatukan diri hanya memandang tanpa riak. Aku menghelakan nafas panjang. Lama aku memandang gadis itu. Ternanti-nanti aku andainya dia mahu berbicara apa-apa. Tiada. Hanya pandangan sinisnya seraya merapatkan diri dengan Qhalif.

     “Saya minta diri dulu.”

     “I tak cakap pun yang you boleh pergi?”

     Turun naik dada aku. Apa yang dia mahukan dari aku? Sudahlah tergedik-gedik di hadapan aku.

     “Encik, boleh saya tahu apa girlfriend encik ni mahukan?” soal aku kepada Qhalif. Tersentak dirinya dengan kata-kataku.

     Spontan, Qhalif menarik tangan gadis itu dan beredar pergi.

     “Qhal, sampai hati you tak tolong I tadi. Boyfriend apa you ni. Sanggup you tengok girlfriend you ni dimalukan macam tadi tu!”

       “You yang salah! You dah langgar dia. Lepas tu you marah dia. Memang padanlah dengan muka you, Fea!”

     Aku tidak jadi melangkah sebaik mendengar balasan dari Qhalif. Tidak semena-mena aku mengukir senyuman gembira. Senang sekali aku mendengar jawapan Qhalif yang memihak kepada aku. Eh, kenapa aku rasa happy sangat?



Puan Zaharah memandangku dengan pandangan yang agak lain dari biasa. Pandangannya berkalih kepada Tuan Razali. Mereka hanya menghantar isyarat mata tanpa bersuara. Seperti ada yang tidak kena. Tiba-tiba sahaja aku rasa seram. Mungkinkah bakal ‘menantunya’ telah memberitahu hal petang tadi kepadanya? Oh tidak! Tapi, macam mana pula dia tahu aku ini pembantu di rumah Puan Zaharah? Qhalif?

     “Aulia!”

     Hah! Dia panggil aku. Ya Allah, selamatkanlah aku!

     “Ada apa Puan?”

     “Kamu buat air kopi ni?” soalnya. Aku memandang cawan di atas meja.

     “Ya, puan. Saya yang bancuh. Kenapa?”

     “Awak ada masalah?”

     “Tak ada.”

     Tuan Razali mengusap dagunya. “Air kopi awak ni? Selalu rasanya manis-manis kelat. Tapi, hari ni..”

     “Err, kenapa? Rasanya apa? Pahit sangat ke? Manis sangat ke?”

     Pudar wajah aku. Tidak sedap rupanya air yang aku bancuh. Hisy, mudah pula aku melakukan kesilapan.

     “Awak bubuh garam.” Puan Zaharah memberitahu. Dia menggelengkan kepalanya. “Awak teringat siapa ni? Gaduh dengan boyfriend ke sampai mengelamun.”

     “Siapa ada boyfriend?” Aku menoleh ke belakang. Qhalif melangkah masuk ke dalam ruang tamu dengan senyuman lebar. Pasti baru pulang dari bermadu asmara dengan gadis itu. “Aulia dah ada boyfriend, ma? Mungkinlah kan, ma. Lagipun petang tadi dia keluar. Mesti pergi dating.”

      “Eh, mana ada. Saya..”

      Tuan Razali gelak lepas. “Buatkan saya air kopi yang baru.” Cawan sudah dihulurkan kepada aku. Aku terus mengambilnya dan masuk ke dapur kembali. Bagus. Tidak perlu terangkan apa-apa.

     Ergh.. benci betullah! Qhalif si penyibuk. Siapa yang keluar dating? Aku atau dia?

     Eh, dia nampak aku dengan Imran ke? Jangan dia fikir yang bukan-bukan sudahlah.



    
Qhalif masuk ke dapur lewat malamnya dan pada masa yang sama aku turut berada di dapur bagi menghilangkan rasa dahaga di tekak. Aku berdiri kaku di hadapannya. Tidak tahu mahu menyapanya sebagaimana rupa. Dia yang kelihatan begitu selamba dalam pijama membuatkan aku rasa mahu tergelak kecil. Comel pulak melihatnya memakai pijama polka dot.

     “Saya lapar. Sediakan apa-apa sahaja untuk saya makan.”

     Keluar dah sikap pelik lelaki bernama Qhalif Qadri. Ber ‘saya’ dengan aku malam-malam buta. Ini kes apa? Ngigau?

     “Roti? Mee? Nasi?”

     “Ada ke lagi nasi?”

     “Ada sikit. Lauk je tak banyak. Nak saya buat nasi goreng?”

     “Boleh juga.”

     Aku melepaskan keluhan. Jam di dinding kukerling. Sudah melewati angka 12. “Pedas?”

     “Biasa-biasa sudahlah. Aku tak makan pedas,” ujarnya kasar.

     Sekejap betul dia berubah laku. Kang aku hempuk pakai kuali, baru dia tahu siapa aku sebenarnya. 

     Sementara aku menyediakan bahan masakkan, Qhalif dengan rela hatinya membancuh air Milo panas satu teko. Sambil-sambil itu, dia berbual dengan aku. Namun,a ku cuba tidak mempedulikannya. Ganjil betul aku rasakan. Dia dengan aku berbual mesra? Ya Allah, begitu pelik.

     “Aulia, aku nak tanya kau sesuatu ni. Jawab kena jujur!”

     “Tentang apa?”

     “Petang tadi.”

     “Okey, tanyalah.”

     “Aku nampak apa yang terjadi antara kau dengan lelaki tu.” Langsung aku memalingkan tubuh. Aku memandnag Qhalif. Berharap dia meneruskan kata-katanya. “Siapa lelaki tu di hati kau?”

     “Dia.. abang. Hanya seorang abang, kepada saya..”

     “Ohh.. tak lebih?”

     Kepala digelengkan.

     “Baguslah kalau tak lebih. Aku tak suka kau dengan dia ada apa-apa hubungan. Aku.. suka..”

     “Suka apa?”

     Isy mulut ni. Gedik betul nak menyampuk cakap dia. Confirm sangat nanti dia corner ke tempat lain punya.

     “Nasi goreng dah nak hangus tu!!” teriak Qhalif separa kuat memaksa aku kembali menumpukan nasi goreng di dalam kuali. Aku kehampaan. Begitu hampa. Apa yang dia mahu sampaikan pada aku tadi?

     Grrr.. geramnya!