Sunday, October 16

Yang Tersirat Di Dalam Hati 1


Projek Kafe kelihatan sesak  dengan orang ramai menjamu selera lewat tengah hari. Para pekerja pula tidak menang tangan melayan satu demi satu pelanggan yang memesan makanan dan minuman. Lincah pergerakkan mereka semua supaya dapat memuaskan hati pelanggan dan dengan itu juga, ia memastikan pelanggan akan kembali lagi. Pekerja di bahagian dapur turut melakukan segala kerja dengan kemas dan teratur. Tiada perlanggaran mahupun tingkah laku yang mencelakan sebarang kerja di dapur. Sebarang kejadian tidak diingini secara tidak langsung dapat dielakkan lantas kualiti kerja tidak terjejas. 

     Faiq berdiri di satu sudut yang telah dikhaskan untuknya. Di situ, dia memencilkan diri menyiapkan pelbagai jenis pastri dan kek. Ada yang dibuat untuk tempahan, serta dijual di kafe. Hasil air tangannya sentiasa mendapat sambutan hangat. 
   
   Loceng khas yang diletak atas pintu masuk berbunyi menandakan ada pelanggan yang baru masuk mahupun keluar. Memang disengajakan loceng tersebut diletak. Mudah mengesan kehadiran pelanggan bila mana ruang kafe lengang dan kosong. Kadang-kadang, bila kafe tiada pelanggan, para pekerja Projek Kafe mengambil kesempatan untuk menunaikan solat dan berehat di bilik rehat. 
   
  Seorang gadis melangkah masuk dan  bunyi derap kasutnya mengganggu konsentrasi Faiq. Tangannya berhenti dari menghias kek cawan yang masih berbaki banyak di dalam dulang. Seorang gadis berjubah hitam dan bertudung bawal warna biru laut begitu tenang melangkah ke dalam kafe bersama sebuah briefcase kulit. 

    Personalitinya mencuit hati Faiq untuk memandangnya lebih lama. Terpesona dengan raut wajah lembut gadis itu dan tidak dapat dinafikan juga, dia seorang yang sangat menawan. Kulit wajahnya putih mulus, bibir yang mungil, hidung yang terletak dan.. argh, sayang sekali! Matanya terlindung dengan kaca mata hitam yang dipakai. Jika tidak, sudah tentu Faiq dapat melihat sepasang mata miliknya. 
  
   Faiq senyum lebar. Dilihatnya gadis itu mengambil tempat di meja yang terletak di hujung. 

    “Amboi, bang. Asyik nampak tengok perempuan lawa. Tersangkut ke?” usik Izul memaksa Faiq melepaskan gelak. 
   
  “Kalau tersangkut, belum tentu dapat tarik. Entah-entah, sudah tertarik pada yang lain.” Faiq menggelengkan kepala. Tidak mahu memasang angan-angan setinggi gunung. Bukan mudah mahu mendapat seorang gadis yang rupawan, dan mempunyai hati yang menawan. Meski berjaya ditawan, adakah hatinya sudah cukup bikin hidupnya rawan? Atau, belum sempat ditawan, hatinya sendiri sudah dimiliki lelaki budiman? Taste di hatinya bagaimana pula? Mahunya jutawan? Hartawan? Ilmuwan? 

    Izul turut gelak sebelum menuju ke arah gadis itu, meminta pesanan. Dia kembali dengan senyuman nakal. Sekeping kad diberikan kepada Faiq. “Nah, bang. Yang lain, pandai-pandai sendirilah.” 

    Bulat mata Faiq sebaik sahaja kad yang dihulur selamat mendarat di atas tapak tangannya. “Kau kenakan aku!” rengus Faiq. Geram dengan tindakan Izul yang tidak disangka-sangkakan. Tidak pasal-pasal gadis yang menjadi tatapan tersalah fikir tentangnya. 

    “Apalah abang ni. Cepat sangat nak berangin. Akak tu yang bagi pada Izul. Suruh bagi pada abang. Dia nak jumpa abang sebab ada hal nak bincang. Kad ini, mukadimah je. Isy..” ujar Izul dengan senyuman penuh makna. Dia menggelengkan kepala dengan aksi Faiq sebelum beredar ke ruang dapur bagi menyediakan hidangan yang diminta gadis yang bernama Maryam Helena itu. 

    Kad yang dipegang menjadi tatapan mata. Terpampang nama penuh gadis tersebut berserta pekerjaannya. ‘Maryam Helena. Seorang perunding syarikat dalam bidang seni reka hias dalaman. Menarik.’ 

     Kepala didongakkan. Faiq memandang Helena yang kebetulan turut memandang ke arahnya. Tiada kaca mata hitam yang melindungi sepasang matanya yang begitu bundar dan besar. Pandangan mereka bersatu untuk seketika waktu. 

     “Aduh..” gumam Faiq perlahan. Pandangan mata Helena begitu berbahaya. Menusuk kalbu. “Aku lagi rela kau pakai spect mata hitam itu, Cik Helena! Bahaya gila mata kau ni.” 

    Kek cawan di dalam dulang ditutup. Tangan dibasuh dan kaki terus melangkah menuju ke meja yang diduduki Helena. Dia berdehem sekadar mahu menarik perhatian Helena walau hakikat sebenarnya, gadis itu sudah maklum akan kehadirannya. 

    Faiq dipersilakan duduk. 

    “Maaf mengganggu, Encik Faiq. I perlukan bantuan you.” 

    Lunak. Merdu. Dan, gemersik. Berdegup perlahan dada Faiq mendengar suara Helena. Argh, inikah yang dinamakan cinta? Atau sekadar godaan syaitan? Langsung tidak munasabah! 
  
   “Bantuan? Dalam segi apa?” 

    “I ada dengar dari someone. From my company. Dia guna khidmat you as a party planner.” 
  
   Faiq mengangguk-angguk. Mulai selesa dengan apa yang mahu dibincangkan. Terkejut juga pada mulanya bila Helena mahukan bantuan darinya. “Yeah, sure. Party planner. Nak buat party apa?” 
  
   “Birthday party. Ringkas je. Hujung minggu ini. Boleh I request untuk buat di sini. Di kafe?” 

    “Why not? I tak kisah. Lagi memudahkan kerja kami di Projek Kafe!” 

     Helena senyum. Lega mendengarnya. 

    Gementar Faiq melihat gadis yang duduk di hadapannya senyum. Belum pernah lagi dia merasa sebegitu hebatnya penangan bertemu kali pertama dengan seorang gadis yang cantik. Sungguh, ini bukan kali pertama. Sebelum ini, dia pernah bekerjasama dengan ramai pereka profesional dalam sesi fotografi rekaan mereka. Terlampau ramai model bertaraf antarabangsa yang dijumpainya. Tiada satu yang pernah membuat dirinya gementar. 
  
   “Senang hati I dengarnya. I nak party yang ringkas, hanya untuk keluarga dan saudara mara terdekat. Tetamu tidak lebih dari 50 orang. Temanya.. apa yang sesuai ya untuk toddlers umur 4 tahun?” 

     ‘Oh, dah ada anak..’ desis Faiq perlahan. Sedikit terkilan dengan kenyataan tersebut walau tidak pasti kebenarannya. “Boy or girl?” 

    “Girl..” sahut Helena dengan senyuman yang ceria. Wajahnya nampak begitu teruja. 
  
   “Fairy tale? Or.. Frozen?” 

    “Tak.. tak. Maksud I, tema yang lebih smooth. No need costumes. Macam, tema kahwin. Garden, beach..” 

    “Sweet Pastel? Random theme. Tapi, agak cute. I pernah buat tema ini untuk majlis pertunangan. Lembut dan kemas.” 

    Jari dipetik kuat di hadapan muka Faiq. Teruja. “Yes. I like it. Aisy would like it too!” 

    Semakin perit dirasakan Faiq. Mungkin wajah lembut di hadapannya itu begitu menyayangi anaknya, dan begitu teruja untuk menyambut hari ulang tahun kelahiran anak. “So.. what do you prefer in your daughter’s party?” 

      Helena terdiam. Tambahan pula, Izul yang muncul bersama pesanannya menghentikan perbincangan mereka. Izul berlalu pergi, dan dia memandang Faiq yang menanti dirinya untuk menjawab pertanyaan itu. “She’s not my daughter. My friend’s daughter. Dia yang minta tolong saya untuk buat birthday party ni..” 

     Belakang tengkuk diurut perlahan, dan perlahan-lahan tangannya beralih ke rambut. Rambut diusap-usap menyembunyikan rasa gembira yang menari-nari di dalam hati. Sudah terbuka satu peluang di hadapan mata. Helena belum ada anak! Moga-moga, dia belum berkahwin juga. 

     “Erm.. beginilah, biar I plan semuanya dulu. Insya-Allah, esok I Whatsapp you? Boleh? I bagi detail tentang party tu.” 

     “Great. Lagi senang. Just Whatsapp me. Tak kira masa. I boleh luangkan masa untuk baca and reply. Jangan risau!” 

     Faiq senyum. Dia bangkit dari duduknya dan membiarkan Helena menikmati hidangan yang mulai sejuk. “Selamat menjamu selera..” 

     “Thanks!” 

“Sudah-sudahlah tu bang. Dah berjam-jam Izul tengok abang asyik tengok kad nama tu. Tersenyum-senyum, tergelak-gelak. Entah apa yang bermain dalam fikiran abang.” 

     Kad nama diletak atas meja kaunter. Faiq mengangkat wajahnya memandang Izul yang sedang menyusun kek cawan ke dalam fridge. Pada masa yang sama dia mencuri pandang beberapa pekerjanya yang berada di dapur. Masing-masing sedang membuat kerja. “Kau nampak je apa yang aku tengah buat, kan?” 

     “Saya bermata empat. Punyalah tebal lens saya. Mestilah nampak!” 

     “Banyaklah kau. Lepas ini, tengok dalam bilik simpanan. Berapa banyak lagi coklat dan ais krim? Aku nak beritahu siap-siap pada Alif.” 

     “Dari abang buang masa menatap kad nama tu, alangkah baiknya kalau abang sendiri yang pergi check. Ada juga faedahnya, bang.” 

    Faiq mengetap bibir. Geram bila berjaya dikenakan oleh Izul. Anak muda itu memang berani mengenakannya. Langsung tiada insurans. Straight to the point! 

     Malas melayan Izul yang terlalu banyak poin mengenakannya, Faiq bangkit dan menuju ke bilik simpanan khas untuk manisan. Setiap bulan, dia perlu memastikan jumlah manisan mencukupi sementelah rakan sekerjanya iaitu Alif jarang ada di kafe. Walaupun Alif seorang pembuat manisan, kerjanya tidak tentu. Ada masa dia dipanggil untuk membuat demo membuat manisan, ada masa dia diminta menjadi panel atau juri pertandingan. Seringkali ‘terbang’ dan meninggalkan rumahnya. 

    “Ais krim baru restock beberapa hari lepas. Ada banyak lagi. Coklat, cukup-cukup untuk minggu ini. Lain-lain, banyak kena restock.” 

    Herot bibirnya ketika mencatat setiap satu manisan yang perlu ditambah. Rak sudah banyak yang kosong dan bakul-bakul coklat turut semakin berkurangan. Ketiadaan Alif pada minggu itu sudah tentu menyusahkan. 

     Telefon bimbit berdering lantang. Nama Alif terpampang di skrin telefon bimbit. “Panjang umur budak ini. Tahu-tahu je aku tengah runsingkan stok makanan kau!” gumam Faiq perlahan. 
  
   “Hah! Reti pun telefon aku! Aku ingat, bila bercuti sakan kat London, berdampingan dengan Lydia sepanjang masa.. lupa aku!” 

    “London apa bendanya, Faiq! Aku ada kat Perak. Malas aku pergi sana.” 

     Sakan dia gelak. Suara Alif yang kedengaran agak menjengkelkan sudah cukup menyatakan yang dia tidak berada di dalam keadaan yang okey. “Kau kenapa? Annoy gila suara kau!” 

     “Yalah, aku ada talk kat London. Belum sampai sana, ada orang beritahu. Lydia still ada dalam apartmen aku. Stress..” 
  
   “Talk kau?” 
  
   “Aku batalkan. Lagipun, aku tak berapa ada mood sekarang. Sebab itu, aku melencong ke Perak. Hujung minggu ini aku balik KL.” 
  
   “Macam-macamlah kau. Aku dari dulu dah ingatkan kau. Hati-hati dengan Lydia. Dia tu, ada udang di sebalik batu.” 
  
   “Yalah. Aku tengah usaha untuk jauhkan diri dari dia. Kafe macam mana?” 

    “Kafe macam biasalah. Tak henti-henti orang datang. Oh ya, Ahad ini ada projek sikit. Birthday party. Kat kafe.” 

    “Oh..” 

     “By the way, tak payah layan sangat perasaan kau. Banyak stok makanan kau dah habis ni. Silalah penuhkan balik.” 

     “Ada. Aku lupa pula nak hantar ke kafe hari itu. Tak apalah, nanti aku hantar. Sekarang, aku nak relaks kat sini dulu.” 

      “Relaks?” 

      “Yeah. Relaks. Tenangkan fikiran. Kosongkan kepala.” 

     Dahi berkerut seribu. Suara Alif sudah kedengaran lain dan berselang pula dengan bunyi tegukkan rakus di tekak. Rakan yang dikenalinya itu mempunyai suara yang mendatar dan keras. Tidak seperti sekarang. Suaranya tidak jelas dan macam orang yang sedang merapu. Mabukkah? 
  
   “Alif, kau minum? Kau tak kedengaran okey!” soal Faiq dan sedikit jauh dari Izul. Bukan dia tidak tahu akan status agama rakannya itu. Di dilahirkan sebagai Islam, tapi dibesarkan tanpa ajaran Islam yang kuat. Lelaki itu seringkali terbabas dan mengulang kembali segala perbuatan yang tidak dibenarkan dalam agama. Berjauhan dengan Alif, meresahkan Faiq. 

    Panggilan telefon terus ditamatkan. Alif menghindarkan diri dari menjawab pertanyaan Faiq. 
    
“Alif.. Alif.. apa dah jadi dengan kau?” omelnya seraya mengusap dagu yang berjambang sedikit. Menghiasi wajah yang putih bersih, selain kumis yang rapi di atas bibir. 
  
   Faiq keluar dari bilik simpanan tersebut. Masih memikirkan Alif yang bermasalah. Rakannya itu sering menggunakan jalan yang salah bila tertekan. Sudah puas dia menasihati Alif agar tidak lagi meneguk air kencing syaitan itu.